Skip to main content

Iklan

Iklan

GE2020: Ng Chee Meng ucap tahniah kepada pasukan WP Sengkang atas kejayaan dalam pilihan raya

Pemimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang tewas dalam pertarungan bagi GRC Sengkang, Encik Ng Chee Meng, pada Sabtu (11 Jul) mengucapkan tahniah kepada Parti Pekerja (WP) atas kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2020: Ng Chee Meng ucap tahniah kepada pasukan WP Sengkang atas kejayaan dalam pilihan raya

(Dari kiri) Encik Ng Chee Meng, Encik Raymond Lye, Encik Lam Pin Min, Encik Amrin Amin. (Gambar: Raymond Lye)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 11:16PM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 11:19PM

SINGAPURA: Pemimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang tewas dalam pertarungan bagi GRC Sengkang, Encik Ng Chee Meng, pada Sabtu (11 Jul) mengucapkan tahniah kepada Parti Pekerja (WP) atas kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Encik Ng, yang merupakan ketua Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), memimpin pasukan PAP yang termasuk penjawat awam Dr Lam Pin Min dan Encik Amrin Amin, serta pendatang baru Encik Raymond Lye.

"Tahniah kepada pasukan Parti Pekerja di Sengkang. Saya berharap para penduduk akan dijaga dengan baik oleh mereka pada tempoh baru itu," kata Encik Ng dalam satu catatan Facebook.

Menurutnya beliau berasa senang melakukan lawatan ke Sengkang dan berinteraksi dengan penduduk sejak beberapa minggu lalu.

"Senyuman, kemesraan dan terutamanya kanak-kanak yang saya jumpa benar-benar menyentuh hati saya," menurut Encik Ng.

Beliau menekankan lagi kenyataan yang dibuatnya pada dini hari Sabtu setelah keputusan diumumkan, bahawa pasukan PAP di Sengkang akan "meneliti dan mengkaji semula bagaimana kami boleh melakukan dengan lebih baik".

"Dalam hari-hari akan datang, kami akan meluangkan masa memikirkan rancangan masa depan," tambahnya.

Kekalahan di Sengkang itu adalah salah satu tamparan hebat bagi PAP dalam Pilihan Raya ini.

Kejayaan WP di GRC Sengkang menandakan kali pertama sebuah parti pembangkang mentadbir dua GRC. WP juga mengekalkan kerusinya di GRC Aljunied dan SMC Hougang, sekali gus memenangi 10 kerusi di Parlimen.

Encik Ng sebelum ini mewakili GRC Pasir RIs-Punggol, sebahagiannya dikeluarkan untuk membentuk GRC Sengkang bersama dengan SMC Sengkang West dan Punggol East.

"Bagi mereka yang mengundi kami, saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan terhadap kumpulan PAP," kata Encik Ng.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua relawan dan aktivis yang menyokong kami. Anda sudah melakukan yang terbaik, anda boleh tetap berasa bangga."

Dalam satu catatan Facebook, Dr Lam juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk, pemimpin masyarakat dan aktivis parti atas sokongan mereka sambil berkata beliau berasa "beruntung dan adalah satu penghormatan besar" dapat berkhidmat di Sengkang West selama 14 tahun lalu.

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya memberikan sokongan mereka kepada Pemerintah PAP untuk mengharungi cabaran-cabarana akibat pandemik COVID-19.

Encik Amrin, pula menyifatkan peluang berkhidmat di Parlimen sebagai satu "penghormatan" manakala calon baru Encik Lye mengucapkan terima kasih kepada penduduk kerana "meluangkan masa dan layanan mesra yang anda berikan kepada saya dan anggota pasukan PAP sepanjang kami berkempen".

"Saya menghormati keputusan pilihan raya dan ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Parti Pekerja atas kejayaan mereka. Ia adalah pertarungan yang baik," tambah Encik Lye.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan