Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2020: Keputusan dalam lingkungan jangkaan 60-65%, namun lebih rendah dari diharapkan

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata sokongan undi lebih rendah bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum 10 Julai bukan hanya datang dari golongan muda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata sokongan undi lebih rendah bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum 10 Julai bukan hanya datang dari golongan muda.

Encik Wong yang juga anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat PAP berkata ia turut disebabkan oleh pengundi yang berusia dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an tahun.

PAP tambahnya, akan menjalankan satu semakan menyeluruh pasca GE2020 bagi memahami keprihatinan golongan itu serta mendekati pengundi muda.

Encik Wong membentangkan rancangan masa depan parti itu bersama lebih lebih 130 aktivis parti menerusi Zoom di ibu pejabat parti itu pada Sabtu (18 Jul).

Berkongsi dapatan awal prestasi PAP dalam pilihan raya umum 2020, Encik Wong berkata keputusan undi 61.2 peratus yang diraih adalah dalam lingkungan jangkaan 60 hingga 65 peratus undi.

Namun, beliau akur PAP mengharapkan peratusan undi yang lebih tinggi memandangkan prestasinya kali ini adalah yang ketiga paling rendah dalam sembilan pilihan raya lalu.

PAP kata Encik Wong berharap untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 65 peratus undi.

FAKTOR UNDI GE2020 LEBIH RENDAH

Encik Wong berkata PAP telah menjalankan penilaian awal dan mereka akur terdapat pelbagai faktor mengapa keputusan GE2020 bagi partinya itu adalah antara yang paling rendah.

Meskipun keputusan menunjukkan 'mandat yang jelas' bagi PAP, Encik Wong berkata terdapat beberapa ruang yang boleh diperbaiki.

Antaranya termasuk untuk lebih memahami fabrik dan dinamika kumpulan pengundi yang berbeza, khususnya para pengundi muda, yang kini mendapatkan pelbagai maklumat menerusi wadah online.

Namun Encik Wong menarik perhatian meski golongan muda kini memainkan peranan dalam membentuk hasil undian, golongan itu sebenarnya hanya terdiri daripada jumlah yang kecil, jika dibandingkan dengan pengundi matang.

Golongan muda yang berusia antara 21 hingga 24 tahun, kata Encik Wong, merangkumi kurang daripada 10 peratus dari jumlah pengundi.

Manakala golongan muda yang berusia antara 20-30 tahun pula merangkumi sepertiga daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Bagi golongan pengundi muda ini, mereka mempunyai aspirasi berbeza dengan isu yang menjadi keprihatinan mereka lain dengan generasi lebih lanjut usia.

PENGUNDI MATANG JUGA BERPINDAH

Melihat kepada peratusan itu, Encik Wong berkata sokongan undi lebih rendah juga datang pengundi lebih dewasa.

Encik Wong berkata pengundi yang berusia 40 tahun ke atas merangkumi hampir 70 peratus jumlah pengundi.

"Pengundi yang berusia dalam lingkungan 40-an, 50-an dan juga 60-an tahun tahun, mereka berdepan dengan perubahan ekonomi, perniagaan yang terjejas, pekerjaan yang hilang atau terpaksa dikurangkan disebabkan oleh pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah.

"Semua ini memberi kesan terhadap sokongan PAP, dan ia memang difahami, meskipun kita telah melakukan pelbagai usaha untuk mengurangkan keperitan mereka," kata Encik Wong.

Selain itu, Encik Wong juga berkata PAP menyaksikan sokongan yang berkurangan dari pengundi yang tinggal di kediaman privet.

Tidak seperti Pilihan Raya Umum 2015 di mana PAP menyaksikan sokongan dari golongan itu, Encik Wong berkata peralihan undi pada tahun ini mungkin juga disebabkan oleh "keperitan ekonomi" yang dihadapi mereka.

MENGORAK LANGKAH MASA DEPAN

Encik Wong berkata memandang ke depan, adalah sukar bagi PAP untuk mencapai mandat 70 peratus seperti yang dicapainya pada pilihan raya 2015.

Namun, parti itu akan berusaha untuk mengurangkan jurang yang diraihnya tahun ini.

Untuk melakukan itu PAP katanya bertekad untuk membantu setiap lapisan masyarakat.

Bagi generasi terhimpit yang berusia antara 40-50 tahun khususnya yang berdepan dengan keperitan ekonomi.

Selain itu PAP juga akan cuba memahami dengan lebih baik lagi cara-cara untuk mendekati pengundi muda.  

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan