GE2020

Images
  • HSK Nomination Day
    Encik Heng Swee Keat dari PAP tiba di Sekolah Rendah St Anthony's Canossian Primary School pada Hari Penamaan Calon. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

GE2020: Heng Swee Keat pimpin pasukan PAP bagi GRC East Coast

SINGAPURA: Penolong Setiausaha Agung Pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) Heng Swee Keat akan memimpin pasukan yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast. Ini antara lain bermakna, beliau sah meninggalkan GRC Tampines - di mana beliau menjadi Anggota Parlimen (AP) sejak 2011.

Kawasan undi di mana Encik Heng akan bertanding sebelum ini terus menjadi tanda tanya menjelang Hari Penamaan Calon.

Ia bagaimanapun terjawab selepas Encik Heng tiba di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Rendah St Anthony’s Canossian di Bedok North pada sekitar 11.30 pagi tadi (30 Jun). Beliau menyerahkan borang pencalonannya bagi GRC East Coast tidak lama selepas itu.

Wakil PAP lain yang akan bertanding bagi GRC East Coast bersamanya adalah Dr Maliki Osman, 54 tahun, Jessica Tan, 54, mantan AP Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Fengshan Cheryl Chan, 44, dan muka baru Tan Kiat How, 43, yang merupakan mantan ketua eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media.

Pemindahan Encik Heng itu menyusuli persaraan Encik Lim Swee Say dan Encik Lee Yi Shyan.

Awal dari itu, terdapat spekulasi Encik Heng dan seorang lagi tokoh berpengaruh PAP akan berpindah ke GRC East Coast untuk menggantikan Encik Lim, seorang mantan Menteri Tenaga Manusia.

SMC Fengshan digabungkan ke dalam GRC East Coast selepas semakan terkini terhadap sempadan kawasan undi.

GRC tersebut kini mempunyai 120,238 pengundi berdaftar, berbanding 96,493 pengundi sebelum ini.

PAP dijangka berdepan persaingan sengit dari Parti Pekerja di GRC itu.

Dalam pilihan raya pada 2015, PAP mengalahkan pasukan WP di East Coast, dengan mendapat 60.73 peratus undi. Namun, pasukan WP bagi East Coast - Encik Leon Perera, Encik Daniel Goh, Encik Mohamed Fairoz Shariff dan Encik Gerald Giam - juga dipaparkan sebagai antara wakil hebat parti itu.  

- TODAY/AQ/aq

Top