Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ELD lakukan terbaik pastikan undian selamat semasa pandemik COVID-19: Lawrence Wong

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata orang ramai yang beratur untuk mengundi semasa Pilihan Raya Umum Jumaat lalu tidak semestinya mencetuskan lonjakan jumlah kes jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
ELD lakukan terbaik pastikan undian selamat semasa pandemik COVID-19: Lawrence Wong

Orang ramai beratur di pusat mengundi di Sekolah Menengah Dunearn pada 10 Jul (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 18 Jul 2020 08:09AM Dikemas Kini : 18 Jul 2020 08:16AM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata orang ramai yang beratur untuk mengundi semasa Pilihan Raya Umum Jumaat lalu tidak semestinya mencetuskan lonjakan jumlah kes jangkitan COVID-19.

Menekankan bahawa Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa pengundian dijalankan dengan selamat, Encik Wong berkata ia dilakukan di tempat terbuka dan orang ramai dijarakkan antara satu sama lain.

"Walaupun jika anda beratur, anda tidak berhubung rapat dengan menyentuh, berbual," katanya di sidang media pada Jumaat (17 Jul) oleh pasukan bertindak pemerintah yang menangani virus korona itu.

Encik Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan itu, menjawab pertanyaan sama ada Singapura berkemungkinan menyaksikan kemunculan semula kes-kes jangkitan kerana orang ramai yang berada di pusat-pusat mengundi.

Beliau berkata sebarang lonjakan kes akan dilaporkan dan diketengahkan sekiranya ia berlaku.

"Janganlah kita terlalu cepat membuat kesimpulan hanya kerana kita melihat orang ramai beratur," katanya. "Beratur dengan sendirinya bukan kegiatan yang semestinya menyebabkan penularan virus."

ELD telah tiga kali meminta maaf kepada pengundi kerana barisan beratur yang memanjang pada Hari Mengundi dan menyatakan pihaknya akan mengkaji dengan menyeluruh kesilapan yang berlaku.

Para pengundi yang tidak berpuas hati mengadu tentang barisan beratur yang panjang di beberapa pusat mengundi Jumaat lalu menyebabkan langkah tidak pernah diambil iaitu menutup pusat-pusat mengundi dua jam lebih lewat.

Pada dini hari berikutnya, sambutan diadakan di beberapa kawasan di Singapura.

Khususnya, kumpulan penyokong Parti Pekerja (WP) berhimpun untuk satu sambutan di dalam dan sekitar sebuah kedai kopi di 322 Hougang Avenue 5. Ini berlaku setelah parti pembangkang itu mempertahankan kerusinya di GRC Aljunied dan SMC Hougang serta memenangi GRC Sengkang yang baru.

Encik Wong berkata walaupun mereka yang terlibat memakai pelitup, "mereka terbawa-bawa dengan suasana ketika itu".

Beliau berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan jika mereka mengenalpasti orang-orang yang terlibat, walaupun beliau mengakui bahawa jumlah "mereka agak ramai".

Beliau menambah bahawa setiap kali orang ramai bersikap sambil lewa dan "tidak menghiraukan nasihat", mereka boleh meletakkan diri mereka dan negara dalam risiko.

Ditanya jika ada perubahan dalam kedudukan penguat kuasaan memandangkan para pegawai penguat kuasa kelihatan menahan diri terutamanya beberapa jam selepas undian ditutup, Encik Wong berkata tidak.

Pegawai penguat kuasa terus dikerahkan untuk bertindak terhadap individu yang melanggar peraturan jika perlu. Beliau berkata bahawa tiada jumlah penguat kuasaan yang akan berkesan jika "seluruh negara" memilih untuk berhimpun dan mengadakan sambutan, sedang beliau sekali lagi menekankan pentingnya tanggungjawab individu.

Encik Wong dan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, seorang lagi pengerusi bersama pasukan bertindak itu, juga ditanya jika mereka akan tetap memimpin pasukan bertindak COVID-19 setelah rombakan Kabinet, yang dijangkakan tidak lama selepas pilihan raya itu.

Encik Gan berkata bahawa beliau tidak dapat menjawab soalan tentang sesuatu yang belum dilaksanakan, kerana barisan Kabinet belum diumumkan dan tugas pasukan bertindak akan diteruskan, sama ada pengerusi bersama yang sedia ada memimpinnya atau tidak.

"Kami ingin memastikan bahawa tugas pasukan bertindak berbilang kementerian tidak diperlahankan akibat (sebarang) perubahan portfolio atau perubahan jawatan Kabinet," katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19 dan Pilihan Raya: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan