Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ELD akan semak prosedur Hari Mengundi

"ELD akan menjalankan semakan menyeluruh untuk memahami apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku sedemikian rupa, terutama di sesetengah pusat mengundi."

Anggaran Waktu Membaca:
ELD akan semak prosedur Hari Mengundi

Orang ramai beratur di pusat mengundi di Sekolah Menengah Dunearn pada 10 Jul (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 14 Jul 2020 11:56AM Dikemas Kini : 14 Jul 2020 12:06PM

SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) akan menjalankan "semakan yang menyeluruh" ke atas sebarang kelemahan yang berlaku semasa Hari Mengundi setelah menerima maklum balas orang ramai berhubung barisan beratur yang panjang pada Jumaat lalu yang menyebabkan pusat-pusat mengundi ditutup dua jam lebih lewat, yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp pada Isnin (13 Jul), ELD menyatakan pihaknya sedia maklum bahawa prosedur semasa Hari Mengundi pada 10 Julai tidak ideal.

"Kami akur langkah-langkah baru yang dilaksanakan pada Hari Mengundi untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pengundi, calon dan para pegawai pilihan raya, menjejas kecekapan dan kelancaran proses mengundi seperti pilihan raya sebelumnya.

"ELD akan menjalankan semakan yang menyeluruh untuk memahami apa yang salah dan mengapa ia berlaku, terutama sekali di sesetengah pusat mengundi."

Mediacorp menanyakan ELD sama ada terdapat pembahagian yang tidak seimbang di sesetengah pusat mengundi yang mengakibatkan orang ramai beratur panjang dan sama ada keadaan COVID-19 menjejas latihan sukarelawan dan pegawai pilihan raya.

Dalam kenyataannya, ELD juga menyatakan bahawa ia "meminta maaf" kerana menimbulkan kesulitan, terutamanya bagi para pengundi warga emas.

Permohonan maaf ini adalah yang ketiga berhubung isu beratur panjang di pusat mengundi.

Setelah keputusan pilihan raya dimuktamadkan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberitahu sidang media bahawa semakan menyeluruh akan dijalankan ke atas proses mengundi. Beliau turut menarik perhatian bahawa jumlah rakyat yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum kali ini adalah lebih tinggi berbanding 2015.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan