Skip to main content

Iklan

Iklan

Dr Intan Azura Mokhtar bersara dari politik setelah berkhidmat 2 penggal

Dr Intan Azura Mokhtar bersara daripada arena politik selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) di GRC Ang Mo Kio.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Intan Azura Mokhtar bersara dari politik setelah berkhidmat 2 penggal

(Gambar: Dr Intan Azura Mokhtar)

SINGAPURA: Dr Intan Azura Mokhtar bersara daripada arena politik selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) di GRC Ang Mo Kio.

Inilah yang didedahkan dalam satu sidang media menerusi Zoom yang diterajui Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (29 Jun).

PM Lee mengumumkan tiga daripada pasukan Anggota Parlimen beliau tidak akan bertanding bagi GRC Ang Mo Kio untuk pilihan raya kali ini.

"Mereka adalah Dr Intan Azura Mokhtar, Ang Hin Kee dan Koh Poh Koon.

"Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka bagi GRC Ang Mo Kio dan kami mengharapkan yang terbaik bagi masa depan mereka," kata PM Lee.

Dr Intan Azura, yang tahun ini berusia 44 tahun, memasuki dunia politik sejak Pilihan Raya Umum 2011, membalas rasa terima kasih tersebut kepada rakan-rakan sejawatannya dalam sesi online itu.

Dr Intan bersama AP GRC Jurong Rahayu Mahzam. (Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih yang seikhlasnya kepada PM Lee dan bekas rakan-rakan parlimen saya daripada GRC Ang Mo Kio.

"Ia suatu penghormatan dan keistimewaan bagi saya dapat bekerjasama dengan anda dan berkhidmat untuk para penduduk sejak lebih sembilan tahun ini," kata beliau,yang bertugas sebagai Penolong Profesor dalam bidang Rekaan dan Perniagaan Khusus di Institut Teknologi Singapura (SIT).

Dr Intan juga antara lain meluahkan rasa terima kasih kepada sukarelawan dan kakitangan akar umbi, rakan-rakan agensi dan penduduk di GRC tersebut atas "sokongan dan persahabatan yang terjalin" dan menjadikan beliau "sebahagian daripada hidup mereka".

(Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

Dikenali dengan tutur bicaranya yang lembut, Dr Intan juga AP wanita Melayu/Islam ketiga selepas Puan Halimah Yaacob dan Dr Fatimah Lateef, sebelum kemudiannya disertai Cik Rahayu Mahzam pada 2015.

Dr Fatimah Lateef juga diramal akan bersara dan digantikan dengan Encik Fahmi Aliman di GRC Marine Parade.

PERNAH HADAPI BARAH

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp sebelum ini, Dr Intan berkongsi bahawa beliau ada penyakit barah pada 2014. Namun itu tidak menjadi hambatan untuknya terus berbakti kepada masyarakat, malah menjadikan beliau lebih kuat dan tabah.

Beliau melibatkan diri dalam politik sebagai langkah lanjutan kerja-kerja masyarakat baginya setelah melibatkan diri dalam kerja sukarela dan kemasyarakatan selama beberapa tahun.

"Melalui pelibatan politik, saya percaya, sedikit sebanyak, saya boleh membawa perubahan positif melalui program bagi para penduduk dan pengundi kawasan undi saya dan juga pada peringkat nasional," kata beliau sebelum ini.

NADIA AHMAD SAMDIN SEBAGAI PENGGANTI

Gelaran calon Melayu di GRC Ang Mo Kio kini disandang oleh peguam Nadia Ahmad Samdin, 30 tahun. Cik Nadia diumumkan sebagai barisan calon bagi GRC itu oleh PM Lee sendiri.

Calon-calon lain di situ termasuklah Cik Ng Ling Ling, Encik Darryl David dan Gan Thiam Poh, selain PM Lee sendiri.

Cik Nadia berkata: "Saya harap para penduduk Ang Mo Kio akan memberikan peluang kepada saya untuk mendengar rintihan mereka dan (menunjukkan) dedikasi untuk bersama masyarakat mengharungi cabaran (COVID-19) ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan