Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon WP: Kini seorang peguam, Fadli Fawzi pernah bertugas di IPS, ARI dan MUIS

Seorang peguam yang sudah berkhidmat dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang selama lebih enam tahun, Muhammad Fadli Mohd Fawzi, hari ini diperkenalkan sebagai bakal calon Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon WP: Kini seorang peguam, Fadli Fawzi pernah bertugas di IPS, ARI dan MUIS

Encik Muhammad Fadli Mohd Fawzi diperkenalkan sebagai bakal calon Parti Pekerja pada 27 Jun. (Gambar: Fadli Fawzi/Facebook)

SINGAPURA: Seorang peguam yang sudah berkhidmat dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang selama lebih enam tahun, Muhammad Fadli Mohd Fawzi, hari ini diperkenalkan sebagai bakal calon Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Encik Fadli merupakan seorang daripada tiga wajah baru yang diperkenalkan pada Sabtu (27 Jun) di bawah bendera WP. Dua lagi adalah pentadbir kontrak, Cik Tan Chen Chen, 38 tahun, dan karyawan IT, Nathaniel Koh, 36 tahun.

WP turut memperkenalkan dua bakal calon yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2015. Mereka ialah Timbalan Pengarah Persatuan Barah Singapura, Kenneth Foo, dan peguam Terence Tan.

(Dari kiri ke kanan) Kenneth Foo Seck Guan, Muhammad Fadli Bin Mohammed Fawzi, Nathaniel Koh Kim Kui, Tan Chen Chen, Terence Tan Li-Chern daripada Parti Pekerja. (Gambar: Parti Pekerja)

(Gambar: Parti Pekerja)

Sejauh ini parti tersebut sudah memperkenalkan 14 bakal calon kesemuanya. Ketua Parti Pritam Singh berkata beliau akan mendedahkan manifesto partinya pada Ahad (28 Jun).

SIAPA FADLI FAWZI?

Encik Fadli, 39 tahun, adalah seorang peguam di syarikat Inkwell Law Corporation. Beliau menguruskan kes-kes jenayah dan tuntuan awam yang dibicarakan di Mahkamah Negara mahupun Mahkamah Syariah.

Namun beliau sebenarnya hanya menjadi peguam setelah mengenggam ijazah Cum Laude pada sekitar 2016. Ijazah itu diraih melalui program 'Juris Doctor' Sekolah Perundangan Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

(Gambar: Parti Pekerja)

Encik Fadli mula mengikuti program tersebut pada 2013 dan ketika itu terpaksa bergantung kepada hutang dan simpanannya.

"Sepanjang hidup saya, saya selalu prihatin terhadap golongan yang ditindas. Masa saya muda, saya akan selalu pastikan saya mengikuti rapat-rapat pembangkang. Mereka benar-benar berjuang (untuk rakyat) tetapi akhirnya kalah," cerita Encik Fadli.

"Bagaimanapun apabila mereka menang, seperti di Aljunied pada 2011, ia sesuatu yang istimewa. Saya melihat diri saya dalam perjuangan mereka, ingin terus berjuang lebih keras dan mengatasi lebih banyak cabaran sebelum mendapat tempat dalam masyarakat."

Sebelum berpindah ke bidang guaman, lulusan sarjana sains sosial Universiti Nasional Singapura (NUS) itu bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Dasar Kanan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) selama lima tahun, selain pernah bekerja di Institut Kajian Asia dan Institut Kajian Dasar. 

APA YANG DIPERJUANGKAN?

Apa yang mahu Encik Fadli perjuangkan sebagai calon WP? Menurut Encik Fadli, beliau mahu Singapura menjadi negara yang lebih adil dan demokratik, di mana rakyatnya diperkasa supaya lebih berpengetahuan ketika membuat sebarang keputusan.

"Saya menyertai Parti Pekerja dan merebut peluang menjadi calon kerana saya faham akhirnya politik adalah asas struktur, dasar dan perundangan negara," kata beliau, yang minat dalam bidang kajian.

Namun bagi masyarakat Melayu khususnya, karyawan yang belum berumahtangga ini ingin semua isu yang dihadapi, dinilai semula dari lensa tidak berkaitan dengan bangsa.

(Gambar: Parti Pekerja)

(Gambar fail: Parti Pekerja) 

"Saya ingin memikir kembali perbincangan tentang isu masyarakat Melayu, bukan sebagai isu bangsa atau tanggapan masalah yang dihadapi adalah kerana tabiat, budaya atau ciri-ciri orang Melayu," terang Encik Fadli.

"Semestinya, kita harus melihat kepada keadaan struktur dan faktor-faktor sosioekonomi. Jadi daripada memahami nasib masyarakat melalui lensa bangsa, sebaliknya kita harus mendekatinya sebagai isu struktur ekonomi. Ini bermaksud kita mesti cari jalan keluar yang bersifat nasional," tambah beliau lagi.

SUDAH LAMA AKTIF DI PERINGKAT AKAR UMBI

Encik Fadli sudah bersama WP sebagai Anggota Majlis Bandaran sejak 2014.

Beliau dikatakan aktif dalam kegiatan akar umbi kawasan Eunos di mana beliau membantu penduduk "menulis surat rayuan dan mengedarkan habuan".

"Kebanyakan tugas kami termasuk perkhidmatan terhadap masyarakat, serta membantu penduduk estet tanpa mengira siapapun mereka, atau parti mana mereka sokong. Dalam pengurusan Majlis Bandaran, saya mengawasi agar lif-lif semua beroperasi, estet kita kekal bersih dan setiap aduan ditangani secepat mungkin," kongsi Encik Fadli lagi.

Ini pula janji beliau jika terpilih sebagai Anggota Parlimen kelak:

"Janji saya jika terpilih, saya akan berkhidmat kepada kawasan undi saya dan rakyat Singapura dengan menjadi suara mereka yang tidak mempunyai kuasa dan bercakap benar kepada pihak berkuasa."

2 WAJAH BARU PARTI PEKERJA

Seorang lagi bakal calon WP yang akan bertanding buat pertama kali adalah pentadbir kontrak, Cik Tan Chen Chen.

Ibu baru itu mula melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama parti tersebut pada 2015. Beliau melakukan kerja-kerja akar umbi di GRC Aljunied dan membantu bekas ketua parti, Encik Low Thia Khiang, di sesi bertemu penduduk.

Sementara itu, Encik Nathaniel Koh menyertai sayap belia WP sedekad lalu dan berkhidmat sebagai ejen pilihan raya, di samping mengurus para relawan dalam dua pilihan raya sebelumnya.

Encik Nathaniel, yang akan menyambut anak sulungnya pada September ini, ingin memperjuangkan isu-isu keluarga.

Antara tumpuannya termasuk melihat kepada insentif sosial yang menyediakan lebih banyak sokongan untuk ibu bapa bekerja.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan