GE2020

Images
  • Tin Pei Lling Goh Meng Seng
    Tin Pei Ling (kiri) bersaing dengan Goh Meng Seng (kanan) di SMC MacPherson (Gambar: Ang Hwee Min, Try Sutrisno Foo)

Calon PAP Tin Pei Ling, satu-satunya wakil PPP Goh Meng Seng rebut SMC MacPherson

SINGAPURA: Ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) Tin Pei Ling dan ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP) Goh Meng Seng akan bersaing merebut kerusi bagi kawasan undi perwakilan perseorangan (SMC) di MacPherson.

Kedua-dua calon berjaya memfailkan kertas penamaan calon masing-masing di Sekolah Kong Hwa pagi tadi (30 Jun).

Ini merupakan Pilihan Raya Umum (GE) ketiga bagi Cik Tin di GRC MacPherson.

"Pilihan Raya ini adalah tentang hidup anda, kerja anda, masa depan anda dan siapa yang boleh membantu anda pada masa-masa sukar ini. Izinkan saya berkhidmat untuk anda dan MacPherson," kata Cik Tin selepas disahkan bertanding.

Dalam GE2015, Cik Tin menang persaingan tiga penjuru menewaskan Parti Pekerja (WP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), meraih 65.58 peratus undi.

Encik Goh sebelum ini bertanding di GRC Tampines pada 2011 sebagai pemimpin NSP dan di GRC Aljunied pada 2006 dengan WP.

"Para pengundi MacPherson, anda boleh dapat semua yang anda mahukan daripada PAP dan PA. Tapi anda mesti ingat, siapa yang boleh mewakili anda dan kepentingan anda dari segi dasar-dasar CPF, HDB dan kesihatan. Terima kasih," kata Encik Goh.

SMC MacPherson adalah satu-satunya kawasan undi, di mana PPP bertanding.

Parti itu mempertaruhkan calon-calonnya di GRC Chua Chu Kang pada 2015, namun hanya meraih 23.11 peratus undi.

- CNA/NK/nk

Top