Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon PAP: Mariam Jaafar mahu bantu masyarakat capai aspirasi, bangkit dari kesusahan

Beliau membesar dalam flat sewa satu bilik di Toa Payoh, tetapi kini menyandang jawatan Pengarah Urusan di syarikat global. Cik Mariam Jaafar, 43 tahun, bakal membuat satu lagi loncatan besar dalam hidupnya kerana kini terjun pula ke dalam gelanggang politik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beliau membesar dalam flat sewa satu bilik di Toa Payoh, tetapi kini menyandang jawatan Pengarah Urusan di syarikat global. Cik Mariam Jaafar, 43 tahun, bakal membuat satu lagi loncatan besar dalam hidupnya kerana kini terjun pula ke dalam gelanggang politik.

Cik Mariam salah seorang daripada empat muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diperkenalkan pagi tadi (26 Jun) oleh Penolong Setiausaha Agung Kedua parti tersebut, Encik Chan Chun Sing.

(Gambar: PAP)

(Gambar: PAP)

Tiga lagi karyawan di bawah bendera PAP ialah Encik Shawn Huang Wei Zhong, seorang pengarah di Temasek International, Cik Carrie Tan Huimin, pengasas dan pengarah eksekutif badan amal yang membantu golongan wanita kurang bernasib baik, serta Cik Chan Hui Yuh, seorang penasihat relawan kepada pertubuhan akar umbi Aljunied.

Sesi kendalian Encik Chan itu sekali gus menggulung tujuh sesi memperkenalkan sejumlah 27 wajah baru PAP sejak Rabu (24 Jun).

LATAR BELAKANG MARIAM JAAFAR & MOBILITI SOSIAL

Cik Mariam merupakan lulusan Universiti Stanford - salah sebuah universiti terulung dunia. Selepas meraih sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan elektrik di universiti Amerika Syarikat itu, beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang dan institusi yang sama.

Tidak terhenti di situ, Cik Mariam seterusnya ke Universiti Harvard untuk mengikuti pula pengajian sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

(Gambar: Mariam Jaafar/Facebook)

Cik Mariam bersama suami dan neneknya. (Gambar-gambar fail: Mariam Jaafar/Facebook)

Bekas pelajar Maktab Rendah Raffles ini sebenarnya datang dari keluarga sederhana - bapanya seorang guru sementara ibu beliau pula seorang jururawat.

"Dengan pengalaman hidup saya, secara semula jadi apa yang saya sangat prihatin adalah tentang mobiliti sosial. Singapura harus terus menjadi tempat di mana seorang dari latar belakang biasa mampu menggapai cita-citanya," kata Cik Mariam dalam sidang media pagi tadi (26 Jun).

"Kejayaan yang saya raih bersama keluarga mungkin dilihat sebagai sukar untuk dicapai. Tapi dengan pengorbanan ibu bapa saya, ihsan orang ramai dan mutu pendidikan Singapura, saya berupaya belajar di antara universiti terbaik di dunia lalu bekerja di antara syarikat global terkemuka."

MENGAPA TAMPIL SEBAGAI CALON GE2020?

Semasa memperkenalkan diri beliau sebagai wajah baru PAP, Cik Mariam menjelaskan beliau "berada di sini kerana ingin menyumbang kembali kepada masyarakat".

(Gambar: Mariam Jaafar/Facebook)

"Saya tahu ada banyak cara untuk menyumbang kembali tetapi saya sudah fikirkannya dan mendapati politik adalah landasan unik di mana saya boleh mengubah kehidupan ramai," terang Cik Mariam.

"Apa yang benar-benar ingin saya lakukan adalah membawa kepakaran, rasa empati, kemahiran dan apa sahaja pengaruh serta akses yang saya ada untuk menjadi suara kepada keperluan dan idea-idea rakyat Singapura. Ini demi membentuk dasar-dasar yang baik."

Cik Mariam menambah, selain menjadi suara rakyat, menjadi Anggota Parlimen juga akan membuka peluang luas untuk beliau terus membantu para penduduk.

(Gambar: Amrin Amin/Facebook)

(Gambar fail: Amrin Amin/Facebook)

Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Boston Consulting Group (BCG) itu dijangka bertanding di GRC Sembawang dan dilihat aktif di kawasan Woodlands pimpinan Amrin Amin. Encik Amrin pula disebut-sebut akan berpindah ke GRC baru, iaitu Sengkang.

PERKARA PERTAMA YANG INGIN DILAKUKAN MARIAM JIKA TERPILIH

Satu perkara yang Cik Mariam ingin segera lakukan jika terpilih menjadi Anggota Parlimen nanti adalah membela dan membantu mereka yang terjejas teruk oleh COVID-19, khususnya mereka yang bekerja sendiri.

"Sudah tentu saya akan menggunakan kemahiran dari segi pengurusan atau perundingan. Tapi apa yang paling penting, saya rasa adalah menolong dan mendengar masalah masyarakat."

(Gambar: Mariam Jaafar/Facebook)

"Saya yakin dengan Singapura dan rakyatnya. Saya pasti kami akan harungi ini. Saya rasa ia memerlukan kepercayaan dan ini memerlukan keupayaan dan kesungguhan untuk tidak menghakimi orang lain dan sebaliknya cuba memahami kedudukan masing-masing," ujar Cik Mariam.

Beliau juga berpandangan bahawa setiap individu perlulah mempunyai kesungguhan untuk membina masa depan mereka.

Cik Mariam terdahulu menyumbang tenaga selaku anggota lembaga GovTech, selain pernah menjadi anggota Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2015.

PERJUANGKAN WANITA

Sebenarnya, Cik Mariam juga merupakan ketua 'Women@BCG' di mana beliau membantu melakar pelbagai inisiatif yang menawarkan pembangunan kerjaya dan program-program yang membantu golongan wanita mendaki tangga kejayaan.

Beliau berharap, usahanya itu dapat terus diperluaskan kelak.

"Wanita Melayu misalnya terdiri daripada pelbagai spektrum. Ada tua dan muda, dari pelbagai bidang. Namun yang paling penting adalah kestabilan kewangan seorang wanita, khususnya suri rumah.

(Gambar: Mariam Jaafar/Facebook)

Cik Mariam dalam persidangan video bersama para anggota M³@Woodlands dan MAEC kampung Sembawang. 

"Saya rasa ada wadah untuk menjamin itu, seperti sumbangan CPF. Tapi saya rasa ia satu keperluan asas bagi seorang wanita mencuba dan melakukan sesuatu yang melebihi kebolehan mereka," kata Cik Mariam.

Semasa tempoh COVID-19 sekarang ini, tambah beliau, banyak keluarga juga memerlukan pendapatan tambahan. Maka itu antara usahanya sekarang adalah melaksanakan program yang membantu dengan lebih baik lagi golongan wanita yang berniaga dari rumah dan mereka yang ingin kembali bekerja.

Di samping itu Cik Mariam juga percaya, masyarakat Melayu masih memerlukan lebih banyak peran contoh untuk tampil dan memberi semangat serta perspektif luas kepada wanita Melayu lebih muda supaya mereka dapat mencapai aspirasi mereka.

3 BAKAL CALON LAIN YANG DIPERKENALKAN ENCIK CHAN 

Tiga bakal calon lain turut diperkenalkan Encik Chan dalam sesi yang sama.

(Gambar: PAP)

Seorang daripada mereka adalah Encik Shawn Huang. Beliau adalah Pengarah bagi Pembangunan Perusahaan di Temasek International. 

Lelaki berusia 38 tahun itu juga merupakan seorang sukarelawan di kawasan undi Taman Jurong. Beliau membimbing kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan bekas banduan, selain membantu para penduduk mengakses kegiatan seni dan budaya dalam masyarakat sebagai pengerusi kelab seni dan budaya masyarakat.

Cik Carrie Tan pula merupakan Pengasas 'Daughters of Tomorrow' - badan amal yang memberikan sokongan kepada kaum wanita kurang bernasib baik. Beliau dilihat melakukan lawatan bersama Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan beberapa lagi mantan Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Antara tumpuannya adalah golongan berpendapatan rendah, para pekerja dan "generasi tersepit" yang perlu memikul tanggungjawab menjaga masyarakat menua Singapura.

Sementara itu, Cik Chan Hui Yuh, 44 tahun, adalah pengarah pemasaran di Jingslink Marketing. Pada 2015, beliau menjadi penasihat pertubuhan akar umbi PAP di Aljunied. Cik Chan juga adalah setiausaha cawangan bagi divisyen Aljunied di Serangoon.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan