Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon PAP Fahmi Aliman mahu bangunkan masyarakat lebih sihat di GRC Marine Parade

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade Mohd Fahmi Aliman, 48 tahun berazam untuk memupuk semangat kemasyarakatan di kawasan undi itu melalui kegiatan berunsur kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PAP Fahmi Aliman mahu bangunkan masyarakat lebih sihat di GRC Marine Parade

(Gambar: Facebook/Fahmi Aliman)

SINGAPURA: Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade Mohd Fahmi Aliman, 48 tahun berazam untuk memupuk semangat kemasyarakatan di kawasan undi itu melalui kegiatan berunsur kesihatan.

Beliau berkongsi demikian menerusi sebuah video berjudul 'Walk and Talk with Fahmi' yang dimuat naik di Facebook di mana beliau bersama seorang hos membawa penonton meninjau-ninjau tempat-tempat menarik di kawasan Eunos.

Encik Fahmi yang juga seorang mantan Kolonel Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mahu menerapkan lebih banyak aktiviti kecergasan ke dalam rutin seharian penduduk di Marine Parade.

Selain baik untuk kesihatan, kata wajah baru PAP itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan di antara jiran dan membina sebuah masyarakat yang penyayang. Malah, aktiviti-aktiviti seperti itu juga berpeluang membantu penduduk untuk menyesuaikan diri mereka di dalam persekitaran baru.

"Melakukan sukan baru dan mungkin, kita akan dapat mengenali satu sama lain dengan baik. Jadi saya ingin mencubanya. Namun sudah tentu ia tidak memberatkan. Ia akan disesuaikan untuk semua peringkat usia," kata Encik Fahmi yang juga bercadang menganjurkan sebuah kumpulan berlari untuk penduduk Geylang.

MAHU JADIKAN WISMA GEYLANG SERAI SEBAGAI HAB PEKERJAAN

Selain membina masyarakat yang kukuh, isu pekerjaan terus mendapat keprihatinan Encik Fahmi.

Salah satu inisiatif yang dirancang adalah untuk menjadikan Wisma Geylang Serai sebuah hab bagi membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan dan memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat di kalangan penduduk.

"Mengetahui apakah aset-aset yang sedia ada untuk memastikan rakyat dapat terus belajar, mengambil peluang skim-skim dan program-program pemerintah dan meningkatkan kemahiran mereka," jelas Encik Fahmi.

Sekiranya terpilih, Encik Fahmi akan menumpukan dua tahun pertamanya sebagai Anggota Parlimen untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat.

"Satu perkara yang penduduk perlu tahu tentang saya adalah mereka boleh berbual dengan saya tentang apa sahaja. Saya tidak perlu anda untuk 'beralas'. Anda boleh beritahu saya dengan jujur," ujar beliau.

Encik Fahmi bersama pasukannya yang dipimpin Encik Tan Chuan-Jin, Encik Edwin Tong, Encik Seah Kian Peng dan Encik Tan Lee Seng bertarung dengan Parti Pekerja (WP) di GRC Marine Parade.


Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan