Skip to main content

Iklan

Iklan

Calon PAP: Dr Wan Rizal mahu jadi suara yang perjuangkan mobiliti sosial di Parlimen

Bakal calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau berharap menjadi salah satu daripada suara yang memperjuangkan mobiliti sosial jika terpilih menjadi Anggota Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PAP: Dr Wan Rizal mahu jadi suara yang perjuangkan mobiliti sosial di Parlimen

Dr Wan Rizal Wan Zakariah diumumkan sebagai Calon PAP pada 25 Jun. (Gambar: PAP)

SINGAPURA: Bakal calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau berharap menjadi salah satu daripada suara yang memperjuangkan mobiliti sosial jika terpilih menjadi Anggota Parlimen.

Beliau yakin pendidikan adalah kunci mobiliti sosial. Dengan cara itu, kata beliau, ia membolehkan mereka yang kurang berkemampuan atau kurang berjaya, untuk terus bangkit dan maju, sekali gus mengelak masyarakat daripada terbahagi kepada strata berbeza-beza.

"Antara isu-isu yang saya rasa masyarakat kita perlu lebih prihatin adalah tentu sekali
kesihatan dan kedua dari segi mobiliti sosial. Bagi saya pendidikan itu adalah satu kunci yang penting kerana ia adalah satu cara untuk kita mewujudkan mobiliti sosial di dalam masyarakat kita.

Bekas Pengerusi Masjid Al-Islah di Punggol dan Pensyarah Kanan di Politeknik Republik (RP) itu berkongsi demikian semasa diperkenalkan sebagai calon PAP hari ini (25 Jun).

Dr Wan Rizal berkongsi bahawa beliau adalah pelajar dari aliran Normal semasa di sekolah menengah, sebelum meraih diploma dalam jurusan Elektronik.

Hanya pada usia 31 tahun beliau berjaya menggengam ijazah sarjana muda, sebelum kemudiannya meraih ijazah Doktor Falsafah di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), selepas memiliki empat cahaya mata.

(Gambar: PAP)

Dr Wan Rizal berkata: "Singapura mesti terus menjadi negara yang penuh dengan peluang bagi semua - bukan sahaja bagi mereka yang mempunyai kelebihan atau yang bertuah, tetapi untuk semua rakyat Singapura.

"Saya yakin sistem pendidikan kami berada di landasan yang betul, dan saya berharap dapat menjadi sebahagian daripada pembangunan yang selanjutnya."

PENTINGNYA KEMAHIRAN DALAM DUNIA DIGITAL

Sehubungan itu, beliau melihat nilai pendidikan awal kanak-kanak, di mana mereka mendapat pendedahan di peringkat awal dan mewujudkan sekitaran untuk mereka berkembang dan meneroka.

Beliau juga menekankan tentang peri pentingnya pendidikan yang diiringi dengan kemahiran yang relevan bagi dunia yang pesat dan dinamik sekarang ini.

"Bagi mencapai tahap itu, Singapura mesti terus menyediakan pelbagai laluan bagi kita terus meningkatkan kemahiran.

"Kita juga mesti mewujudkan sistem yang mempunyai asas, di mana para pelajar kita kekal berupaya dan tangkas," jelas Dr Wan Rizal.

(Gambar: PAP)

Meskipun beliau yakin semangat untuk berjaya bergantung kepada setiap individu, beliau menegaskan pelbagai laluan perlu dilakarkan bagi semua pihak.

"Kita mesti akur kejayaan itu bukan semestinya bermaksud kita mendapat ijazah sarjana muda atau diploma, kerana yang penting adalah kemahiran. Kemahiran yang diperlukan untuk menjadikan kita pekerja yang lebih dari cekap.

"Yang penting, mereka harus mempercayai kemampuan mereka dan menjadikannya ini sebuah kepakaran... Masyarakat kita perlu percaya kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana ini akan meningkatkan kita terutama dalam dunia digital, jadi kita harus bersedia untuk masa depan sebegini," ujar beliau.

TIDAK PERNAH TERLINTAS MASUK POLITIK

Malah dengan latar belakang yang cukup sederhana, Dr Wan Rizal berkongsi, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memasuki dunia politik sebelum ini.

Ini meskipun beliau sudah berkhidmat 10 tahun dalam masyarakat, termasuk sebagai bekas pengerusi Masjid Al-Islah dan pemimpin akar umbi di Pasir Ris East dan Punggol East.

Malah ini kali pertama beliau 'dilamar' menjadi seorang calon PAP, kata beliau.

(Gambar: PAP)

"Saya tidak fikir terlalu lama (untuk menerima lamaran ini) kerana saya rasa ini adalah satu amanah juga. Apabila masa itu sudah sampai, saya rasa saya boleh menolong lebih masyarakat kita dan saya mengambil kesempatan itu.

"Ia agak semula jadi bagi saya untuk maju ke peringkat lebih tinggi setiap kali. Jadi apabila peluang itu tiba dan saya diberi peluang itu, saya rasa ada baiknya saya mengambil peluang ini, juga untuk mengingatkan rakyat Singapura bahawa perjalanan hidup saya adalah mengenai wujudnya 'harapan'," kata Dr Wan Rizal.

Beliau juga ingin memberitahu rakyat Singapura bahawa kita mesti memanfaatkan semua peluang yang diberikan.

"Kita mesti maju walaupun perlu menghadapi pelbagi cabaran.

"Jika saya dapat memberi inspirasi kepada rakyat Singapura saya yang lain, saya akan lakukannya."

Malah memasuki bidang politik ini juga dianggap sebagai lanjutan kepada khidmat masyarakat yang sudahpun dilakukannya sejak sedekad lalu.

"Saya mahu membantu mereka dalam golongan peringkat pertengahan dan pelajar dewasa. Inilah cabang yang saya rasa dapat bantu bersuara. Saya mahu menyokong keperluan mereka.

"Arena politik adalah mengenai mendapatkan hak bersuara di parlimen dan saya rasa adalah penting adanya wakil untuk menyokong sebab ini."

6 CALON LAIN DIPERKENALKAN

Dalam sidang media itu sesi kedua itu sejumlah tujuh calon diperkenalkan termasuk Dr Wan Rizal, menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Empat calon pertama, diperkenalkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, yang juga naib pengerusi PAP.

(Gambar: PAP)

Mereka adalah Cik Yeo Wan Ling, ketua eksekutif Caregiver Asia, Encik Alvin Tan Sheng Hui, ketua dasar awam dan ekonomi di LinkedIn dan Encik Eric Chua, mantan komander Divisyen Ketiga Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu kemudian memperkenalkan tiga calon lain.

Tiga wajah baru itu ialah Encik Derrick Goh Soon Hee, pengarah urusan dan ketua audit kumpulan DBS Bank, Cik Poh Li San, naib presiden Changi Airport Group dan Encik Raymond Lye Hoong Yip, rakan urusan sebuah firma guaman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan