Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AWARE kritik kiasan PAP sebagai 'tidak sensitif' terhadap mangsa keganasan rumahtangga

Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) mengkritik kenyataan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang menggunakan kiasan membabitkan penderaan suami ke atas isteri untuk membuat suatu kenyataan.

Anggaran Waktu Membaca:
AWARE kritik kiasan PAP sebagai 'tidak sensitif' terhadap mangsa keganasan rumahtangga

Gambar ilustrasi seorang wanita didera secara fizikal. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Jul 2020 03:09PM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 03:35PM

SINGAPURA: Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) mengkritik kenyataan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang menggunakan kiasan membabitkan penderaan suami ke atas isteri untuk mengetengahkan satu kenyataan.

Dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (4 Jul), kumpulan hak kesetaraan gender itu menyatakan: "Ramai orang awam menghubungi kami untuk melahirkan keprihatinan tentang kenyataan media PAP mengenai Chee Soon Juan, yang membandingkan kenyataan Chee dengan satu tuduhan bahawa seseorang telah memukul pasangannya.

"Kiasan ini amat dikesali. Menggunakan gambaran keganasan rumahtangga pada situasi yang tidak ada kena-mengena dengannya adalah tidak sensitif. "

Dr Chee ialah ketua parti pembangkang Parti Demokratik Singapura (SDP). Parti beliau dan PAP telah bertikai tentang jumlah unjuran 10 juta penduduk untuk Singapura, yang digunakan SDP dalam kempen pilihan rayanya.

PAP menegaskan bahawa SDP menyebarkan kepalsuan mengenai rancangan Pemerintah PAP untuk meningkatkan jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta.

Pada Khamis, ia meminta parti pembangkang itu supaya meminta maaf, namun SDP enggan berganjak dan menyatakan pihaknya tidak mereka-reka angka itu dan malah kini sudah mencapai salah satu matlamat kempennya.

Pada Jumaat malam, PAP mengeluarkan kenyataan dan menggunakan kiasan untuk menjelaskan bagaimana Dr Chee tidak bercakap benar.

"Bayangkan ini: Dr Chee mendakwa anda berkata yang anda mahu memukul pasangan anda. Anda menafikannya, dan menunjukkan bukti bahawa anda tidak berkata begitu dan tidak memukul pasangan anda. Dr Chee tidak meminta maaf tetapi sebaliknya berkata, 'Kemenangan! Saya buat anda berjanji bahawa anda tidak akan pernah memukul pasangan anda',” bunyi kenyataan tersebut.

Mengulas hal ini, AWARE menegaskan: “Keganasan rumah tangga adalah masalah serius dan dahsyat bagi ramai orang di Singapura, dan berjuta-juta lagi di seluruh dunia. Ia bukan sesuatu perkara untuk dikait-kaitkan dengan sewenang-wenangnya - terutamanya di tengah-tengah pandemik COVID-19, ketika keganasan rumah tangga meningkat dengan mendadak."

Persatuan itu menyatakan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam politik berpihak, namun bimbang bahawa kenyataan seperti itu yang dibuat oleh badan awam berkuasa boleh membawa kesan yang tidak disengajakan - mengukuhkan salah tanggap bahawa tuduhan palsu mengenai penderaan adalah perkara biasa.

Ini akan menghalang mangsa daripada tampil mendapatkan bantuan ketika keganasan rumah tangga pada masa ini sudahpun kurang dilaporkan.

"Kami menyeru calon-calon politik untuk berhati-hati dan bertanggungjawab ketika berkomunikasi sepanjang pilihan raya ini," kata AWARE.

PERTIKAIAN 10 JUTA

Pertikaian mengenai jumlah 10 juta itu timbul pada Rabu apabila Dr Chee dan Dr Vivian Balakrishnan dari PAP menyertai siaran langsung perbahasan di televisyen.

Dr Chee meminta Dr Balakrishnan, seorang anggota jawatankuasa eksekutif pusat PAP, untuk mengatakan secara terbuka sama ada Pemerintah benar-benar ada rancangan untuk meningkatkan jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta.

Dr Balakrishnan menuduh Dr Chee menyebarkan kepalsuan dan kedua-dua parti terus saling bertikam lidah untuk beberapa hari berturut-turut.

Dr Paul Tambyah, yang merupakan pengerusi SDP dan bertanding di kawasan undi Bukit Panjang untuk Pilihan Raya Umum 10 Julai, berkata kepada wartawan pada Jumaat bahawa PAP perlu mendapatkan penjelasan daripada The Straits Times jika ia tidak berpuas hati dengan angka 10 juta itu.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah rencana pada Mac 2019 yang mengandungi komen oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengenai saiz penduduk. Akhbar itu dan Encik Heng kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak menyebut angka tersebut.

Pada malam yang sama, PAP mengeluarkan kenyataan menyuarakan rasa kecewa terhadap SDP dan kedua-dua pemimpinnya kerana mengulangi kepalsuan dan enggan meminta maaf kerana mengelirukan pengundi.

PAP juga menyatakan pihaknya menyangka Dr Tambyah tidak akan terlibat dengan Dr Chee dalam "kepalsuan" itu. Dalam kenyataan yang sama, PAP menggunakan kiasan yang dikecam AWARE.

Pada Sabtu, Dr Tambyah berkata kepada wartawan ketika melakukan lawatan mendekati penduduk di Bukit Panjang bahawa "serangan bertubi-tubi" PAP terhadap SDP adalah tanda bahawa parti pemerintah itu "terdesak".

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan