Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP PAP harus jangka soalan lebih tajam dengan lebih ramai pembangkang di Parlimen: PM Lee

Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat harus menjangkakan soalan-soalan yang lebih tajam dan perbahasan lebih bersemangat di Parlimen kerana kini terdapat lebih ramai AP pembangkang dan seorang Ketua Pembangkang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (1Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Aug 2020 07:41PM Dikemas Kini : 01 Aug 2020 11:15PM

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat harus menjangkakan soalan-soalan yang lebih tajam dan perbahasan lebih bersemangat di Parlimen kerana kini terdapat lebih ramai AP pembangkang dan seorang Ketua Pembangkang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (1 Ogos).

PM Lee berkata demikian dalam surat yang menggariskan kod tata laku "Peraturan Berhemah" AP PAP di Parlimen. Surat sepanjang lapan halaman itu, juga dikongsikan kepada media. Ia biasanya disampaikan kepada AP PAP setelah setiap pilihan raya umum.

Pilihan raya Singapura baru-baru ini diadakan pada 10 Julai, dengan PAP memperolehi 61.2 peratus undi dan 83 daripada 93 kerusi Parlimen.

Parlimen ke-14 Singapura akan mempunyai 10 AP dari Parti Pekerja (WP) dan dua AP Tanpa Kawasan Undi dari Parti Kemajuan Singapura.

Setiausaha Agung WP Pritam Singh secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang bulan lalu, yang pertama bagi Singapura.

Upacara angkat sumpah Kabinet baru diadakan pada 27 Julai di Istana dan Bangunan Parlimen.

"Dengan lebih ramai AP pembangkang dalam Parlimen baru, dan seorang Ketua Pembangkang dilantik secara rasmi, kita harus menjangkakan pertanyaan dan perbahasan yang lebih tajam di Parlimen," kata PM Lee.

"AP PAP harus mengemukakan pandangan mereka secara terus terang, tidak kira sama ada mereka menyokong atau membantah dasar-dasar Pemerintah. Semasa perbahasan, bercakap dengan bebas dan yakin. Berhujah dengan bersungguh-sungguh, jelaskan pandangan anda dan jangan segan untuk bertukar-tukar pandangan dengan bersemangat," katanya.

Beliau menambah bahawa AP PAP harus bersedia untuk berbahas dengan pembangkang, mendapatkan penjelasan mereka dan meneliti idea mereka.

"Namun, ketika berhujah dan membentangkan pandangan anda, jangan terbawa-bawa sekadar untuk menarik perhatian," katanya.

JANGAN BERDEBAT DI MEDIA SOSIAL

Peraturan Berhemah itu mengandungi bahagian baru berkaitan media sosial, dengan PM Lee berkata bahawa AP boleh memanfaatkannya sebagai wadah untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang kerja-kerja mereka dan berkongsi pandangan mereka.

Bagaimanapun,Encik Lee berkata para AP juga harus mengamalkan tata tertib serta memastikan ketepatan maklumat.

Beliau juga mengingatkan para AP agar tidak menggunakan media sosial untuk menyerang orang lain atau berdebat berpanjangan secara online.

"Tunjukkan sikap jujur, empati, positif dan tegas dalam semua mesej anda. Kenali penonton anda dan peka dengan perasaan mereka. Jangan gunakan media sosial untuk menyerang orang lain," kata Encik Lee.

"Walaupun media sosial merupakan satu lagi cara untuk berhubung dengan orang lain, jangan sampai terlibat dalam bahas berpanjangan secara online. Anda juga perlu bergaul dengan penduduk anda dan memenuhi keperluan mereka secara peribadi dan bersemuka," tambahnya.

Berikut adalah antara intipati lain pesanan PM Lee dalam suratnya:

JAGA NAMA BAIK PARTI, KEWIBAWAAN

Encik Lee menekankan pentingnya setiap AP menegakkan piawai tinggi yang ditetapkan parti itu sendiri.

"Salah satu faktor penting yang membolehkan PAP mengekalkan keyakinan rakyat Singapura selama ini adalah kejujuran dan integriti. Nama baik PAP sebagai pemerintah yang bersih dari rasuah adalah salah satu aset paling berharga kita," katanya.

ASINGKAN PERNIAGAAN DAN POLITIK

Para AP harus asingkan kedudukan politik awam daripada kepentingan peribadi, profesional atau perniagaan mereka, tegas Encik Lee.

Mereka tidak boleh memanfaatkan kedudukan mereka sebagai AP, hubungan mereka dengan menteri atau akses kepada jabatan pemerintah dan penjawat awam untuk kepentingan peribadi atau perniagaan mereka.

Para AP juga tidak harus menerima hadiah yang mungkin membuat mereka terhutang budi dan bertentangan dengan tanggungjawab awam mereka.

Hadiah yang bukan dari rakan atau saudara terdekat harus diisytiharkan kepada Setiausaha Dewan Parlimen, yang akan menilai harganya. Sekiranya seorang AP ingin menyimpan hadiah itu, mereka harus membayar Pemerintah berdasarkan harga penilaian.

KEHADIRAN DI PARLIMEN

Para AP dikehendaki menghadiri semua sidang Parlimen dan harus meminta izin dari Whip Pemerintah jika mereka tidak dapat hadir, kata Encik Lee.

"Saya telah meminta Speaker untuk memberi semua AP, terutama AP baru, cukup peluang dan kebebasan untuk berucap di Parlimen. Peluang pertama anda adalah semasa perbahasan mengenai Amanat Presiden pada pembukaan Parlimen pada bulan Ogos 2020.

Selepas itu, pada Perbahasan Belanjawan, semua anggota Parlimen harus menyuarakan pandangan mereka," kata Encik Lee.

"Pandangan anda yang jujur dan membina adalah penting kepada menteri ketika mereka melakarkan dan menyemak semula dasar. Menteri akan menerima cadangan yang sah dan membina, tetapi mereka harus mencabar pandangan yang tidak tepat atau salah," kata PM Lee.

"Lama kelamaan, orang ramai akan melihat bahawa AP PAP adalah sama berkesan dengan AP pembangkang, malah mungkin lebih baik, dengan mempertanggungjawabkan para menteri, memastikan isu diperbahaskan sepenuhnya, dan mempengaruhi dasar menjadi lebih baik," katanya.

KUTIPAN DANA, PENGURUSAN KEWANGAN

Cabang parti tidak boleh mengumpulkan dana sendiri tanpa izin, misalnya, dengan menjual ruang iklan untuk majalah cenderamata atau karnival.

Para AP juga harus menguruskan kewangan peribadi mereka secara berhemat dan tidak berbelanja berlebihan atau berhutang di luar kemampuan.

"Ini bukan hanya boleh memalukan, tetapi juga menjadi satu kelemahan yang mendedahkan anda kepada tekanan atau ugutan," kata PM Lee.

PENGARAH, ISYTIHAR PENDAPATAN

Walaupun Parti membenarkan AP untuk berkhidmat di lembaga syarikat swasta dan awam, mereka tidak boleh meminta menjadi pengarah agar tidak dilihat sebagai mempergunakan kedudukan politik mereka untuk meraih manfaat.

Encik Lee juga memberitahu para AP supaya mengisytiharkan kepentingan perniagaan dan profesional mereka, gaji bulanan, sebarang upah tambahan dan yuran kepadanya sebelum 28 Ogos.

TATA LAKU AP

Secara keseluruhan, para AP harus sentiasa menegakkan piawai tinggi Parti dan tidak mengamalkan gaya hidup atau tingkah laku peribadi yang akan memalukan diri mereka sendiri dan Parti, kata Encik Lee.

"Sebarang kelemahan atau menampakkan keangkuhan atau sikap tidak peduli, akan menghakis kepercayaan terhadap AP, dan akhirnya terhadap Parti dan pemerintah," katanya.

"Selalu bersikap rendah diri, sopan santun dan bermaruah, terutama di hadapan media. Anda harus mendapatkan rasa hormat, bukan populariti, untuk terus berkhidmat." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan