Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 pengundi kali pertama kongsi rasa ghairah dan gementar dapat mengundi

SINGAPURA: Salah satu segmen pengundi yang cukup berkobar-kobar untuk menjalankan tanggungjawab memilih pemerintah untuk mentadbir Singapura, adalah para pengundi kali pertama.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Salah satu segmen pengundi yang cukup berkobar-kobar untuk menjalankan tanggungjawab memilih pemerintah untuk mentadbir Singapura, adalah para pengundi kali pertama.

BERITAmediacorp bertemu dengan lima pengundi kali pertama di dua pusat mengundi untuk merakamkan pengalaman mereka.

3 BELIA DATANG MENGUNDI DENGAN PENUH SEMANGAT

Hujan renyai-renyai dan barisan beratur panjang jelas kelihatan di luar kawasan pusat mengundi Sekolah Rendah Pasir Ris sekitar 2.00 petang pada Jumaat (10 Jul).

Namun, semangat mahu mengundi meluap-luap di dada tiga anak muda yang membesar di kawasan Pasir Ris.

Adik beradik Nur Insyirah, 24 tahun dan Nur Fadhlin Sakina Ismail, 22 tahun, serta rakan mereka, Muhd Syahmi Mohd Tajudin, 25 tahun berasa cukup ghairah kerana ia suatu sejarah bagi mereka kerana sudah 'cukup usia' untuk mengundi dan menentukan hala tuju negara.

"Saya rasa amat teruja dan berbesar hati diberikan peluang untuk memberikan undi saya kepada pilihan raya kali ini.

"Kebetulan hari ini adalah hari jadi saya jadi ini adalah pengalaman yang tak dapat saya lupakan," kata Nur Insyirah yang bertugas sebagai seorang jururawat.

Bagi Nur Fadhlin Sakina pula, yang merupakan seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau mengaku gementar tetapi seronok:

"Ada juga gementar sebab takut terbuat salah. Saya rasa sebagai seorang anak muda saya mempunyai tanggungjawab untuk mewakili golongan-golongan belia."

Muhd Syahmi pula berpendapat pilihan yang dibuatnya itu mempunyai impak yang besar buat masa depan Singapura.

"Perasaan saya sangat ghairah kerana saya harus tahu parti mana saya harus pangkah dengan betul yang saya rasa dapat memenuhi apa yang dipertikaikan dalam rapat (online) mereka," kata Muhd Syahmi yang baru sahaja tamat pengajiannya di NUS.

Meskipun mengundi di satu-satunya Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang menyaksikan saingan tiga penjuru di antara Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti Suara Rakyat (PV) dan parti Perikatan Demokratik Singapura (SDA), ketiga-tiga 'anak jati' Pasir Ris itu berharap parti yang bakal mewakili kawasan mereka dapat menyuntik kesegaran dan menghulurkan lebih bantuan.

SEHATI (SEJIWA) MENGUNDI

Di Jalan Sultan pula, pasangan mempelai baru, Ryan Shaffiq Ramli dan Erra Zaisheera Md Kamal, 25 tahun ghairah dapat keluar mengundi - ia juga pertama kali dalam hidup mereka dalam Pilihan Raya Umum.

Mereka mengaku sudah lama menantikan peluang untuk memangkah kertas undi.

Pasangan itu mengundi mengikut masa yang disarankan di kertas undi mereka iaitu jam 5.00 petang.

Menurut mereka, semua proses mengundi berjalan lancar walaupun pelbagai langkah keselamatan diterapkan dek COVID-19.

"Saya rasa amat penting (mengundi) sebab saya dapat memilih parti politik yang berhak dan boleh berkhidmat dengan terbaik untuk negara kita," kata Erra Zaisheera.

Sememangnya semua ini gambaran baik buat negara kerana membuktikan golongan muda berasa ada taruhan dalam negara mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SM/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan