Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 kawasan undi jadi tumpuan pada Hari Penamaan Calon

Menjelang Pilihan Raya Umum pada 10 Julai, parti-parti politik sudah mula menyatakan kerusi mana yang akan mereka tandingi daripada 93 kerusi yang dipertandingkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 kawasan undi jadi tumpuan pada Hari Penamaan Calon

Penyokong PAP dan payung penyokong WP pada Hari Penamaan Calon GE2015 (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 11:15AM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 11:25AM

SINGAPURA: Menjelang Pilihan Raya Umum pada 10 Julai, parti-parti politik sudah mula menyatakan kerusi mana yang akan mereka tandingi daripada 93 kerusi yang dipertandingkan. Sebahagian daripada mereka sudah mendedahkan siapa yang akan ditempatkan di kawasan-kawasan undi tertentu.

Salah satu proses utama ialah Hari Penamaan Calon, apabila pada bakal calon akan mengemukakan kertas pencalonan mereka.

Proses tersebut berlangsung pada Selasa (30 Jun) di sembilan pusat penamaan calon, dengan senarai calon yang sudah disahkan dijangka diumumkan sekitar tengah hari nanti.

Lima kawasan undi ini diramalkan akan menjadi tumpuan:

GRC ALJUNIED

Parti Pekerja (WP) memenangi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) lima anggota itu dalam Pilihan Raya Umum 2011.

Pasukan yang sama - Encik Pritam Singh, Cik Sylvia Lim, Encik Low Thia Khiang, Encik Chen Show Mao dan Encik Faisal Manap - berjaya mengekalkan kerusi mereka dalam Pilihan Raya Umum 2015, namun hanya dengan 50.95 peratus undi, lebih kecil berbanding GE2011.

Dengan WP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijangka bertanding lagi di GRC tersebut tahun ini, kawasan undi itu akan menjadi tumpuan.

Ahli WP Sylvia Lim, Leon Perera, Pritam Singh, Gerald Giam dan Faisal Manap bertemu penduduk pada 27 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Ahli WP Sylvia Lim, Leon Perera, Pritam Singh, Gerald Giam dan Faisal Manap bertemu penduduk pada 27 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Pasukan WP kali ini terdiri daripada Encik Singh, Cik Lim, Encik Faisal dan bekas Anggota-Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leon Perera dan Encik Gerald Giam.

Encik Low dan Encik Chen akan berundur untuk memberi laluan kepada ahli parti lebih muda bertanding.

Setakat ini, PAP masih belum mendedahkan secara rasmi barisan calon untuk GRC Aljunied.

Menurut laman kawasan undi itu, pasukan parti pemerintah tersebut termasuk tiga individu yang bertanding di GRC tersebut dalam Pilihan Raya Umum 2015. Mereka ialah Encik Shamsul Kamar, Encik Victor Lye dan Encik Chua Eng Leong.

Dua muka baru yang akan menyertai mereka ialah peguam Alex Yeo dan pengarah pemasaran Chan Hui Yuh.

GRC EAST COAST

WP bertanding di GRC East Coast dalam tiga pilihan raya umum lalu dan dijangka akan bertanding lagi di sana.

Mantan Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say dan mantan AP tiga penggal Lee Yi Shyan dijangka berundur memberi laluan kepada muka-muka baru untuk bersaing dengan WP.

GRC East Coast dilihat sebagai medan persaingan tetap antara PAP dengan WP. Kedua-dua parti lazimnya menempatkan pasukan yang kuat di sana.

Dengan Menteri Kanan Teo Chee Hean dikatakan mungkin menggantikan Encik Lim, para pengamat meramalkan bahawa PAP juga akan memastikan sebuah pasukan yang kuat di GRC itu. Sumber-sumber dalam parti itu sendiri mengatakan nama-nama calon dirahsiakan buat masa ini.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat juga sebelum ini dilihat bertemu penduduk di East Coast dan para pakar menyatakan beliau mungkin menerajui sebuah pasukan yang baru di GRC itu.

Pada 2015, Encik Lim, Encik Lee dan Menteri Negara Kanan Maliki Osman dan Cik Jessica Tan mengekalkan kerusi mereka di East Coast dengan 60.73 peratus undi. Namun para wakil WP di GRC East Coast adalah pasukan yang tewas dengan antara peratusan undi terbaik.

(Dari kiri) Ahli PAP Lee Yi Shyan, Maliki Osman, Jessica Tan dan Lim Swee Say.

(Dari kiri) Ahli PAP Lee Yi Shyan, Maliki Osman, Jessica Tan dan Lim Swee Say.

Pada Khamis (25 Jun), Encik Singh mengumumkan bahawa WP akan bertanding di GRC lima anggota itu namun tidak mendedahkan siapa calon yang akan ditempatkan di sana.

Pengumuman beliau bahawa Cik Lim dan dirinya sendiri akan bertanding di GRC Aljunied menghentikan desas-desus bahawa salah satu daripada mereka akan beralih ke GRC East Coast.

Kini perhatian tertumpu kepada calon-calon bagi GRC East Coast yang mungkin hanya akan diumumkan WP pada Hari Penamaan Calon.

Bakal calon Nicole Seah yang diperkenalkan oleh WP dilihat bertemu penduduk di kawasan undi tersebut.

GRC WEST COAST

Dengan bekas calon presiden Dr Tan Cheng Bock menerajui Parti Kemajuan Singapura (PSP) di GRC West Coast, PAP mungkin berdepan dengan persaingan sengit.

Dr Tan merupakan AP bagi Ayer Rajah selama 26 tahun semasa beliau masih bersama PAP. Kawasan undi itu kini sebahagian daripada GRC West Coast.

Beliau percaya kehadirannya selama ini di kawasan itu, semasa berkhidmat sebagai AP dan doktor, akan menjadi satu kelebihan untuk PSP dalam pilhan raya umum ini.

Dr Tan juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2011 namun tewas - dengan perbezaan undi kecil - kepada Dr Tony Tan.

Pada Jumaat (26 Jun) PSP mengumumkan bahawa ia akan menempatkan setiausaha agung parti Leong Mun Wai, Cik Hazel Poa, Encik Nadarajah Loganathan, Encik Jeffrey Khoo dan Dr Tan sendiri di West Coast.

Lee Hsien Yang (tengah) dan Tan Cheng Bock (kanan) dari PSP bersarapan sebelum bertemu penduduk pada 28 Jun 2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Lee Hsien Yang (tengah) dan Tan Cheng Bock (kanan) dari PSP bersarapan sebelum bertemu penduduk pada 28 Jun 2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Bagaimanapun, dengan penyertaan Encik Lee Hsien Yang - adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam PSP, timbul spekulasi bahawa Encik Lee mungkin dikerahkan sama ada di West Coast atau di kawasan undi lain sebagai calon mengejut pada pagi Hari Penamaan Calon.

GRC West Coast sudah menjadi kubu kuat PAP sejak ia dibentuk pada 1997. Dalam Pilihan Raya Umum 2015, PAP menang 78.57 peratus undi menumpaskan Parti Reform (RP).

Pasukan empat anggota PAP itu terdiri daripada Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, Encik Lim Hng Kiang, Cik Foo Mee Har dan Encik Patrick Tay. Mereka adalah antara pasukan PAP dengan prestasi terbaik dalam GE2015.

SMC POTONG PASIR

Di Potong Pasir, pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond akan cuba merebut kerusi perwakilan perseorangan itu daripada PAP.

Ini adalah pilihan raya pertama Encik Raymond dan ia akan memberi isyarat sejauh mana penduduk Potong Pasir yang setia kepada Encik Chaim See Tong akan menyokong beliau.

Pengerusi SPP Jose Raymond akan bertanding di SMC Potong Pasir dalam GE2020 (Gambar: Facebook/Jose Raymond)

Pengerusi SPP Jose Raymond akan bertanding di SMC Potong Pasir dalam GE2020 (Gambar: Facebook/Jose Raymond)

AP PAP Sitoh Yih Pin yang mula memenangi hati penduduk di SMC Potong Pasir sejak Pilihan Raya Umum 2011, dijangka berdepan persaingan sengit. Beliau menang tipis, hanya dengan perbezaan 114 undi menewaskan Encik Chiam See Tong pada Pilihan Raya Umum 2011 manakala beliau menang besar pada Pilihan Raya Umum 2015.

SMC BUKIT BATOK

Dr Chee Soon Juan dari Parti Demokratik Singapura (SDP) akan bertanding di SMC Bukit Batok.

Beliau pernah bersaing dengan AP PAP di SMC itu, Encik Murali Pillai, dalam pilihan raya kecil 2016 dan meraih 38.8 peratus undi.

Kedua-duanya dijangka bersaing sekali lagi tahun ini.

Dr Chee merupakan seorang calon pembangkang dengan sejarah yang begitu panjang. Beliau mula menceburi politik bersama SDP sejak 1992, di bawah setiausaha agung parti, Encik Chiam.

Setiausaha Agung SDP Dr Chee Soon Juanbertemu penduduk di Bukit Batok pada 28 Jun 2020. (Gambar: Ruth Smalley)

Setiausaha Agung SDP Dr Chee Soon Juanbertemu penduduk di Bukit Batok pada 28 Jun 2020. (Gambar: Ruth Smalley)

Beliau bagaimanapun tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2011 kerana diisytiharkan muflis dan secara formal bebas daripada status muflis pada November 2012.

Pada 2015, Dr Chee menerajui pasukan SDP di Holland-Bukit Timah namun gagal. Pasukannya hanya meraih 33.4 peratus undi. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan