Skip to main content

Iklan

Iklan

Presiden Biden arah sebahagian dokumen siasatan 9/11 dibuka kepada umum

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Jumaat (3 Sep) mengarah Jabatan Keadilan untuk menyemak semula dokumen-dokumen daripada siasatan FBI ke atas serangan 11 September 2001 untuk diubahkan status dan dibuka kepada umum.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Biden arah sebahagian dokumen siasatan 9/11 dibuka kepada umum

Presiden Joe Biden mengarah Jabatan Keadilan untuk menyemak semula dokumen-dokumen daripada siasatan FBI ke atas serangan 11 September 2001. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Sep 2021 01:34PM Dikemas Kini : 04 Sep 2021 01:40PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Jumaat (3 Sep) mengarah Jabatan Keadilan untuk menyemak semula dokumen-dokumen daripada siasatan FBI ke atas serangan 11 September 2001 untuk diubahkan status dan dibuka kepada umum.

"Sewaktu saya bertanding untuk menjadi presiden, saya membuat komitmen untuk memastikan ketelusan berhubung pengubahan status dokumen-dokumen tentang serangan pengganas ke atas Amerika pada 11 September 2011," kata Presiden Biden dalam satu kenyataan. "Sedang kami menghampiri ulang tahun ke-20 hari penuh tragis itu. Saya memenuhi komitmen tersebut."

Arahan itu memerlukan Peguam Negara Amerika, Merrick Garland, mendedahkan dokumen-dokumen yang diubah status itu kepada orang awam sepanjang enam bulan mendatang sedang ia menyelia "semakan bagi pengubahan status dokumen-dokumen" berkaitan dengan siasatan FBI.

Anggota keluarga mangsa-mangsa serangan 11 September pada Khamis (2 Sep) meminta pemerhati pemerintah Amerika Syarikat agar menyiasat keraguan mereka bahawa FBI berbohong atau menghapuskan bukti yang mengaitkan Arab Saudi dengan para penyerang.

Permintaan dalam bentuk surat itu dikirimkan kepada Ketua Negara Jabatan Keadilan Michael Horowitz menyatakan bahawa "keadaan mewujudkan kemungkinan bahawa seorang atau lebih ramai pegawai FBI melakukan salah laku dengan sengaja menghapuskan atau menyembunyikan bukti untuk mengelakkannya daripada didedahkan."

Arab Saudi sudahpun menyatakan bahawa ia tidak memainkan sebarang peranan dalam serangan menerusi pesawat yang dirampas.

Saudara-mara para mangsa sudah bertahun-tahun lamanya meminta lebih banyak maklumat tentang apa yang ditemui FBI menyusuli siasatannya.

Bulan lalu, ramai anggota keluarga para mangsa meminta Presiden Biden supaya tidak menghadiri acara-acara peringatan 20 tahun selagi beliau tidak mengubah status dokumen-dokumen yang mereka percaya akan menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Arab Saudi menyokong serangan-serangan itu.

Tiga hari kemudian, Jabatan Keadilan menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa ia sudahpun memutuskan untuk menyemak semula dakwaan keistimewaan yang dibuat sebelum ini, tentang mengapa ia tidak boleh mendedahkan maklumat-maklumat yang diminta oleh keluarga-kerluarga tersebut.

Presiden Biden akan memperingati ulang tahun serangan itu pada minggu depan.

"Hati saya terus bersama keluarga-keluarga para mangsa 9/11 yang sedang menderita dan pentadbiran saya akan terus menyantuni dengan penuh hormat anggota masyarakat tersebut," jamin Presiden Biden dalam satu kenyataan pada Jumaat. "Saya mengalu-alukan suara dan pandangan mereka sedang kita melakar jalan menuju ke hadapan." 

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan