Koronavirus

Images

Zaqy beri jaminan kumpulan kerja baru komited buka peluang pekerjaan kepada pekerja Melayu/Islam terkesan COVID-19

SINGAPURA: Berucap di Parlimen, Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamed memberi jaminan bahawa kumpulan kerja baru Melayu/Islam yang diterajuinya komited untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan pekerja yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Penubuhan kumpulan kerja baru Melayu/Islam yang merangkumi MENDAKI SENSE, DPPMS, NTUC serta badan-badan lain daripada sektor awam dan masyarakat bermatlamat untuk membantu pekerja Melayu/Islam mencerahkan prospek memohon kerja di tengah-tengah keadaan ekonomi yang sedang merudum, jelas Encik Zaqy.

Selain meningkatkan kemahiran pekerja Melayu/Islam, kumpulan kerja baru itu juga akan memastikan para pekerja berpeluang membawa pulang gaji yang lebih baik.

Mereka yang didampingi termasuk para pekerja mapan, siswazah baru, individu yang bekerja sendiri serta golongan asatizah.

Para peniaga Melayu/Islam yang terjejas teruk akibat COVID-19 juga akan diberikan sokongan untuk mendigitalkan perniagaan mereka.

Bagi memastikan kesemua golongan ini tidak ketinggalan, Encik Zaqy berkata langkah pertamanya adalah untuk memperhebatkan usaha mendampingi mereka.

Antara inisiatif yang sudah dijalankan termasuk pameran kerjaya di bawah MENDAKI SENSE.

"SENSE telah menganjurkan tiga Pameran Kerjaya Maya (VCF) yang berjaya menarik hampir 12,000 pelawat. Lebih dari 3,400 orang telah menghantar permohonan kerja dan jumlah permohonan yang diterima secara keseluruhan melebihi 8,000. Terkini, aplikasi CariKerja telah dimuat turun lebih 22,000 kali. Jumlah ini merupakan tanda permulaan yang baik," menurut Encik Zaqy.

Dengan rangkaian sokongan yang disediakan itu, Encik Zaqy melahirkan harapan agar golongan pekerja Melayu/Islam dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru sambil merebut peluang-peluang yang disediakan. 

- CNA/UR/na

Top