Koronavirus

Images
  • Pritam Singh WP
    Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh mengadakan sesi bertemu penduduk. (Gambar: Facebook/Pritam Singh)

WP teruskan sesi bertemu penduduk dengan 'langkah berjaga-jaga tambahan'

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Selasa (4 Mei) menyatakan ia akan terus mengadakan sesi-sesi bertemu penduduk (MPS) secara bertemu muka tetapi dengan "langkah berjaga-jaga tambahan" di tengah-tengah peningkatan pada jumlah kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Kami akan terus mengadakan sesi-sesi bertemu penduduk secara fizikal, kecuali jika dinasihatkan untuk tidak melakukannya. Ini supaya kami dapat terus mendampingi penduduk warga tua, termasuk penduduk yang tidak dapat menghubungi kami online," menurut parti itu menerusi kenyataannya.

"Kami akan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan di lokasi-lokasi MPS kami dan beroperasi dengan jumlah sukarelawan yang lebih kecil."

Menurut parti pembangkang itu, para penduduk harus mengirimkan emel kepada Anggota Parlimen (AP) masing-masing jika mereka ada "isu-isu penting untuk dibincangkan".

Lawatan dari rumah ke rumah oleh AP WP bagaimanapun akan digantung sehingga diberitahu kelak.

Menerusi catatan di akaun Facebooknya semalam, AP He Ting Ru (WP-Sengkang) menyatakan bahawa para penduduk Buangkok boleh menghubungi AP mereka menerusi panggilan telefon dan kiriman emel.

"Selagi tiada kemas kini lanjut daripada NEA, kami juga akan meneruskan sesi bertemu penduduk secara fizikal pada Rabu," kata Cik He.

"Jaga diri dan patuhi langkah-langkah baru yang diumumkan oleh pasukan bertindak berbilang lementerian hari ini (4 Mei)," menurut WP.

Semalam, pasukan bertindak itu mengumumkan langkah-langkah pengurusan selamat akan diperketatkan mulai 8 Mei hingga 30 Mei untuk membantu membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Pada Ahad (2 Mei), Parti Tindakan Rakyat (PAP) menasihatkan para AP parti itu supaya mengadakan sesi bertemu penduduk secara online atau menerusi panggilan telefon.

"Ini untuk mengurangkan pendedahan penduduk dan sukarelawan (kepada COVID-19)," menurut PAP.

- CNA/NK/nk

Top