Koronavirus

Images
  • world health organisation logo geneva
    Lambang di luar sebuah bangunan WHO di Geneva, Switzerland (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)

WHO tubuh pasukan baru kaji asal usul pandemik COVID-19, patogen baru

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menubuhkan satu pasukan khas dianggotai 26 saintis bagi menyelidik patogen (bakteria atau virus penyebab penyakit) baru dan langkah mencegah kemunculan pandemik pada masa depan.

Pasukan penyelidik itu juga akan menghidupkan semula
siasatan mengenai asal usul kemunculan virus COVID-19 yang setakat ini menyebabkan 4.5 juta penduduk maut sejak ia dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.

Kumpulan pakar itu turut bertanggungjawab menghasilkan satu rangka kerja global yang baru bagi kajian asal usul patogen yang berpotensi mencetuskan pandemik seperti SARS-CoV-2, virus yang mengakibatkan COVID-19.

Selain krisis COVID-19, beberapa patogen membawa maut muncul kembali sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), selsema burung, Lassa, Marburg dan Ebola.

Pada awal tahun ini, WHO mengumumkan akan mewujudkan Kumpulan Penasihat Saintifik Mengkaji Asal usul Patogen Baru (SAGO).

"Kemunculan virus baru yang berpotensi mencetuskan wabak dan pandemik adalah hakikat alam tetapi perlu dikaji asal usulnya untuk langkah pencegahan," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
"SARS-CoV-2 (COVID-19) adalah virus yang terbaru, namun ia juga bukan yang terakhir. Kita perlu memahami dari mana asal usul patogen baru ini supaya dapat dicegah menjadi penularan pada masa depan."

Kumpulan 26 saintis dalam pasukan pakar itu dipilih daripada 700 permohonan dalam pelbagai bidang saintifik.

Mereka termasuk Ketua Institut Virologi Berlin, Christian Drosten; Yungui Yang dari Institut Genomik Beijing; Jean-Claude Manuguerra dari Institut Pasteur dari Perancis dan Inger Damon dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

Beberapa pakar lain adalah saintis yang menjalankan kajian asal usul COVID-19 WHO-China iaitu Farag Elmoubasher, Thea Fischer, Marion Koopmans, Hung Nguyen dan John Watson.

Pasukan khas itu dipertanggungjawab untuk menasihatkan WHO bagi mewujudkan, memantau dan menyokong kajian baru mengenai asal usul sesuatu virus, termasuk saranan segera kepada pelan operasi badan itu bagi melaksanakan kaji selidik baru terhadap sesuatu pandemik.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove berkata, SAGO akan menangani segera usaha mengenal pasti virus baru, apa yang belum diketahui mengenainya dan tindakan wajar yang harus dilakukan segera. 

- AFP/SU/fz

Top