Koronavirus

Images
  • people at airport
    Gambar hiasan orang ramai di lapangan terbang di Denver, Colorado, AS. (Gambar:Reuters/Kevin Mohatt)

WHO tidak sokong pasport vaksinasi COVID-19 buat masa ini

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menyokong syarat memerlukan pasport vaksinasi untuk perjalanan kerana belum ada kepastian sama ada vaksinasi mencegah jangkitan virus tersebut. Ini selain keprihatinan mengenai keadilan, kata seorang jurucakap pada Selasa (6 Apr).

"Kami, seperti yang dinyatakan WHO di peringkat ini, tidak mahu melihat pasport vaksinasi dijadikan syarat untuk keluar masuk kerana kami tidak pasti buat masa ini bahawa vaksin mencegah penularan," menurut jurucakap WHO Margaret Harris.

"Terdapat soalan-soalan selain diskriminasi terhadap mereka yang tidak berupaya mendapat vaksin atas apa juga sebab," beliau memberitahu satu taklimat media PBB.

WHO kini menjangkakan untuk mengkaji semula vaksin-vaksin COVID-19 dari China, Sinopharm dan Sinovac untuk kegunaan kecemasan sekitar hujung bulan April, kata Cik Harris.

"Ia tidak secepat yang kami harapkan kerana kami memerlukan lebih banyak data," kata beliau, yang enggan memberikan lebih banyak maklumat atas sebab kerahsiaan.

Pengarah agung WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada bulan lalu merayu kepada negara-negara yang mempunyai lebihan bekalan vaksin supaya segera mendermakan 10 juta dos kepada kemudahan COVAX yang dikendalikannya bersama perikatan vaksin GAVI.

Sekatan-sekatan eksport oleh India menyebabkab program perkongsian vaksin itu mengalami masalah kekurangan bekalan vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan oleh Institut Serum India.

Menurut Cik Harris beliau tiada maklumat terkini tentang negara-negara yang akan tampil ke depan, sambil menambah: "Kami sengat menantikan lebih banyak vaksin."

- Reuters/NK/nk

Top