Skip to main content

Iklan

Iklan

WHO lancar ujian terhadap 3 ubat berpotensi rawat COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan pada Rabu (11 Ogos) ujian besar-besaran di peringkat antarabangsa terhadap tiga jenis ubat untuk menentukan sama ada ia boleh menambah baik keadaan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO lancar ujian terhadap 3 ubat berpotensi rawat COVID-19

Lambang di luar sebuah bangunan WHO di Geneva, Switzerland (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 10:00AM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 10:01AM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan pada Rabu (11 Ogos) ujian besar-besaran di peringkat antarabangsa terhadap tiga jenis ubat untuk menentukan sama ada ia boleh menambah baik keadaan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.

Artesunate, imatinib dan infliximab akan diuji ke atas ribuan pesakit yang menyertai secara sukarela di lebih 600 hospital di 52 negara.

"Mencari terapi yang lebih berkesan dan mudah diakses untuk pesakit COVID-19 kekal sebagai satu keperluan yang kritikal," ujar Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Artesunate digunakan bagi merawat malaria yang mudarat manakala imatinib adalah ubat untuk barah tertentu dan infliximab pula merawat gangguan sistem imun seperti Crohn dan artritis reumatoid - sejenis penyakit sendi.

Menurut WHO, kajian yang diselaraskan di puluhan negara itu membolehkan ujian tersebut untuk menilai beberapa rawatan menggunakan protokol yang sama, lantas menghasilkan anggaran yang kukuh mengenai kesan ubat ke atas peluang hidup pesakit, termasuk kesan sederhana.

Ubat-ubat itu dipilih oleh panel pakar bebas berdasarkan potensinya dalam mengurangkan risiko kesihatan ke atas pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.

Ubat yang digunakan bagi ujian itu adalah sumbangan syarikat pengeluarnya dan sudahpun dihantar ke hospital-hospital terlibat.

Ujian penggunaan ubat artesunate, imatinib dan infliximab ke atas pesakit COVID-19 adalah di peringkat kedua inisiatif Perpaduan WHO bagi mencari rawatan yang berkesan terhadap virus maut COVID-19.

Sebelum ini, empat ubat dinilai dalam ujian inisiatif tersebut yang melibatkan hampir 13,000 pesakit di 500 hospital di 30 negara.

Hasil kajian yang dikeluarkan pada Oktober lalu menunjukkan bahawa ubat-ubat remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan interferon hanya mempunyai sedikit atau tiada kesan langsung pada pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital.

Keputusan terakhir ujian itu dijangka akan diketahui pada bulan depan. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan