Skip to main content

Iklan

Iklan

WHO gesa perjanjian antarabangsa cegah pandemik seterusnya

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak perjanjian antarabangsa untuk membantu mencegah dan memerangi pandemik masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO gesa perjanjian antarabangsa cegah pandemik seterusnya

Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 02:21PM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 02:23PM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak perjanjian antarabangsa untuk membantu mencegah dan memerangi pandemik masa hadapan.

Desakan itu dibuat oleh ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di tengah-tengah kemunculan varian baru COVID-19, Omicron yang membimbangkan.

Jelas Dr Tedros, masih banyak yang tidak diketahui tentang jangkitan dan gejala teruk varian Omicron yang bermutasi tinggi.

"Satu perkara yang kita pelajari adalah tiada wilayah, negara, masyarakat dan individu yang selamat sehingga kita semua selamat.

"Kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menunjukkan betapa bahaya dan tidak menentunya keadaan kita.

"Afrika Selatan dan Botswana patut menerima pujian kerana mengesan, menyusun dan melaporkan varian ini, bukannya dihukum.

"Sesungguhnya, Omicron menunjukkan sebab kenapa dunia memerlukan persetujuan baru mengenai wabak.

"Sistem semasa kita menghalang mana-mana negara daripada memaklumkan negara lain tentang ancaman yang pasti akan tiba juga di negara mereka," kata Dr Tedros.

Menurut beliau, kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menunjukkan dunia masih dalam keadaan tidak menentu.

Justeru, beliau menggesa perjanjian konkrit untuk menentukan komitmen dunia menuju ke hadapan.

Tambah Dr Tedros, saintis WHO dan pakar kesihatan di seluruh dunia sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh varian baru itu.

Katanya lagi, maklumat berkaitan varian tersebut terutama berkaitan mudah menular, gejala lebih buruk dan risiko penembusan vaksin sedang dikumpulkan.

Dr Tedros memberi amaran dunia perlu berjaga-jaga dengan ancaman koronavirus dan kemunculan varian Omicron adalah satu lagi peringkatan bahawa COVID-19 belum berakhir.

Dr Tedros menyertai pemimpin dunia seperti Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Chile Sebastian Pinera untuk sesi khas bagi negara-negara anggota agensi kesihatan PBB di Perhimpunan Kesihatan Sedunia.

Perhimpunan itu bertujuan untuk merangka pelan tindakan global ke arah usaha mencegah, menyediakan dan bertindak balas terhadap wabak masa hadapan.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan