Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO beri amaran "kemuncak kedua" di negara kes COVID-19 menurun

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran negara-negara di mana kes jangkitan COVID-19 semakin menurun masih berdepan risiko 'kemuncak kedua' dengan segera jika terlalu cepat melonggarkan langkah-langkah sekatan yang bertujuan mengekang penularan wabak itu.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO beri amaran "kemuncak kedua" di negara kes COVID-19 menurun

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 26 May 2020 04:25PM Dikemas Kini : 26 May 2020 04:30PM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran negara-negara di mana kes jangkitan COVID-19 semakin menurun masih berdepan risiko 'kemuncak kedua' dengan segera jika terlalu cepat melonggarkan langkah-langkah sekatan yang bertujuan mengekang penularan wabak itu.

Ketua Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan melalui taklimat dalam talian semalam (25 Mei) berkata dunia masih di tengah 'gelombang pertama' pandemik COVID-19.

Menurutnya, meskipun kes menurun di banyak negara, ia masih meningkat di Amerika Tengah dan Selatan, Asia Selatan dan Afrika.

Encik Ryan berkata, wabak sering berlaku dalam beberapa peringkat gelombang, bermakna ia boleh muncul semula akhir tahun ini di tempat di mana gelombang pertama reda.

Beliau berkata, ada kemungkinan juga kadar jangkitan dapat meningkat dengan lebih cepat jika langkah untuk menghentikan gelombang pertama dilonggarkan terlalu cepat.

"Apabila kita bercakap mengenai gelombang kedua, apa yang kita sering maksudkan adalah gelombang pertama penyakit itu sendiri, dan ia berulang beberapa bulan kemudian.

"Itu mungkin terjadi kepada banyak negara dalam beberapa bulan tetapi kita juga harus sedar bahawa kes jangkitan penyakit ini dapat meningkat pada bila-bila masa.

"Kita tidak boleh membuat andaian bahawa hanya kerana penularan penyakit ini semakin reda, ia akan terus menurun... kita memerlukan beberapa bulan untuk bersiap sedia bagi gelombang kedua.

"Kita mungkin mengalami puncak kedua dalam gelombang ini," katanya.

Tambah beliau lagi, negara Eropah dan Amerika Utara harus 'terus melaksanakan langkah-langkah sosial dan kesihatan awam, langkah pengawasan, ujian dan strategi komprehensif untuk memastikan ia terus berada di lekuk bawah dan tidak meningkat segera ke puncak kedua'.

Kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat dalam beberapa minggu terakhir menarik balik langkah perintah berkurung yang dapat membendung penyebaran wabak tetapi pada masa sama menjejaskan ekonomi. 

Sumber : Reuters/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan