Skip to main content

Iklan

Iklan

Warga tua kumpulan pertama dapat token TraceTogether mulai 28 Jun

Warga tua yang lemah dan mudah terdedah yang buat masa ini tidak mempunyai wadah digital dan berisiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19 akan menerima kumpulan pertama token TraceTogether mulai Ahad (28 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga tua kumpulan pertama dapat token TraceTogether mulai 28 Jun

Seorang lelaki menunjukkan token TraceTogether. (Gambar: Pejabat Generasi Warga Emas)

Diterbitkan : 28 Jun 2020 10:28PM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 10:35PM

SINGAPURA: Warga tua yang lemah dan mudah terdedah yang buat masa ini tidak mempunyai wadah digital dan berisiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19 akan menerima kumpulan pertama token TraceTogether mulai Ahad (28 Jun).

Ini akan membantu untuk memperluaskan lagi perlindungan kepada seberapa ramai mungkin, termasuk mereka yang tidak mempunyai atau memilih untuk tidak menggunakan telefon bimbit, menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dalam satu kenyataan media.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SNDGG menyatakan bahawa para penerima juga termasuk mereka yang uzur secara fizikal, hidup sebatang kara atau tidak mempunyai sokongan keluarga.

Pejabat Generasi Warga Emas akan mendampingi warga tua ini menerusi lawatan dari rumah ke rumah, menurutnya. Butiran mengenai agihan seterusnya akan diumumkan kemudian.

Hayat bateri bagi versi pertama dijangka boleh bertahan antara enam bulan sehingga sembilan bulan dan tidak perlu dicas. Ia juga direka sedemikian rupa agar ia ringan dan mudah untuk digunakan.

Setiap token TraceTogether akan dilengkapi dengan kod QR yang unik dan direka khas untuk kegunaan pihak penerima.

Token itu boleh digunakan dengan menukar isyarat Bluetooth dengan token TraceTogether atau dengan telefon bimbit berdekatan yang mengaktifkan aplikasi TraceTogether itu.

Data yang dikumpul akan disimpan secara tersulit dalam token bagi tempoh tidak melebihi 25 hari, menurut SNDGG.

Token itu tidak dilengkapi dengan GPS dan ini bermakna ia tidak mengumpul data mengenai sesebuah lokasi. Ia juga tidak mempunyai ketersambungan internet, justeru itu data tersulit tidak boleh diperolehi daripada peranti tersebut.

Para pengguna akan dimaklumkan oleh pegawai pengesanan kontak Kementerian Kesihatan (MOH) jika beliau dikesan berhubung rapat dengan seseorang yang dijangkiti virus korona.

Sekiranya pengguna disahkan pesakit COVID-19, para pegawai akan menghubunginya untuk memuat turun data.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan