Skip to main content

Iklan

Iklan

Warga tua ini sahut suntikan dos ke-3 vaksin COVID-19

Hampir 4,600 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura dalam masa tiga hari yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga tua ini sahut suntikan dos ke-3 vaksin COVID-19

Seorang pekerja jagaan kesihatan menyediakan dos vaksin COVID-19 di sebuah pusat vaksinasi di Singapura pada 21 Apr 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Hampir 4,600 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura dalam masa tiga hari yang lalu.

Dengan lebih 80% daripada mereka yang dirawat di hospital kerana sakit teruk akibat COVID-19 merupakan warga emas, Pemerintah terus merayu agar lebih ramai warga tua mengambil suntikan dos tambahan untuk lebih melindungi diri mereka.

Antara yang menyahut seruan pemerintah itu ialah pasangan warga emas Encik Abdolah Lamat, 74 tahun, dan isteri Siti Delima Abdul Jamil, 72 tahun.

Menurut Encok Abdolah, sejurus menerima pesanan ringkas SMS dari Kementerian Kesihatan (MOH) minggu lalu menjemput mereka untuk mendapatkan dos ketiga vaksin COVID-19, mereka suami isteri dengan segera menempah slot.

Menurut Encik Abdolah, mereka tidak mahu berlengah kerana jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Mentelah lagi kedua-duanya penghidap penyakit kronik darah tinggi dan kencing manis.

"Apabila saya ambil suntikan dos pertama dan yang kedua, sejauh ini tidak ada apa-apa menjejas kesihatan. Dan ini pula suruh ambil suntikan tambahan.

"Jadi sekurang-kurangnya ia sebagai satu pendinding supaya kita dapat bertahan dan kita pun nak sihat, nak selamat," kata Encik Abdolah.

Guru pesara itu juga melihat keputusan mengambil suntikan tambahan sebagai satu tanggungjawab sosial.
"Kita ada keluarga, anak-anak pun, cucu-cucu dan saya masih mengajar di sekolah. Jadi sama macam jadi pegawai barisan hadapan kepada murid-murid saya di sekolah.

"Kalau sekiranya kita sihat, kita dapat membantu dari segi kesihatan untuk semua, untuk warga dan negara jugalah," tambah beliau.

91,500 WARGA EMAS SUDAH DAPATKAN SUNTIKAN DOS KETIGA

Menurut Kementerian Kesihatan dos tambahan itu akan memastikan perlindungan lebih tinggi terhadap COVID-19.

Mentelah lagi keberkesanan suntikan vaksin dos pertama dan kedua akan semakin berkurangan sejajar dengan peredaran masa.

Disebabkan itulah, "sila ke depan untuk mengambil suntikan dan suntikan tambahan anda" kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semalam (24 Sep).

Semalam juga MOH menyatakan hampir 91,500 pula sudah mendapatkan vaksin dos ketiga dan sekitar 605,000 warga emas berusia lebih 60 tahun sudah dijemput untuk menempah slot bagi mengambil suntikan tambahan itu.

"Penerimaannya sejauh ini baik dan menggalakkan. Misalnya, bagi kumpulan undangan pertama yang kami keluarkan, 70% sudah mengambil suntikan atau menempah temu janji. Jadi secara keseluruhannya, lebih separuh sudah melakukannya dan bilangannya sedang meningkat," kata Encik Ong lagi.

Bagi Encik Abdolah pula, beliau berkongsi betapa rakan-rakan sebayanya juga tidak sabar untuk mendapatkan suntikan dos ketiga demi melindungi diri mereka.

"Kawan-kawan saya malahan mereka bertanya Cikgu dah ambil belum?

"(Kawan-kawan saya) yang ada belum. (Kata mereka) 'saya tengah tunggu-tunggu ini saya belum dapat'. Jadi maknanya mereka pun rasa kalau boleh nak cepat mengambilnya," kongsi Encik Abdolah.

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) sudahpun mengumumkan bahawa mulai minggu depan pemerintah akan mengundang mereka yang berusia antara 50 tahun dan 59 tahun untuk mengambil suntikan vaksin tambahan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan