Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Warga S'pura dinasihati elak lawat bandar-bandar Korea Selatan terjejas oleh COVID-19

Warga Singapura dinasihati agar mengelakkan perjalanan tidak perlu ke bandar-bandar Daegu dan Cheongdo di Korea Selatan sedang jumlah kes jangkitan COVID-19 yang disahkan di kawasan itu terus meningkat, menurut MOH dalam nasihat perjalanan berhubung kesihatan awam pada Ahad (23 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Feb 2020 07:42PM Dikemas Kini : 23 Feb 2020 10:58PM

SINGAPURA: Warga Singapura dinasihati agar mengelakkan perjalanan tidak perlu ke bandar-bandar Daegu dan Cheongdo di Korea Selatan sedang jumlah kes jangkitan COVID-19 yang disahkan di kawasan itu terus meningkat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam nasihat perjalanan berhubung kesihatan awam pada Ahad (23 Feb).

Orang ramai juga diingatkan supaya terus berwaspada bila melakukan perjalanan ke kawasan-kawasan lain di Korea Selatan.

Korea Selatan pada Ahad mengesahkan 602 kes virus korona itu, dengan lima kematian. Lebih separuh kes ada kaitan dengan gereja Shincheonji Church of Jesus di Daegu, sementara sekurang-kurangnya 110 adalah dari Hospital Daenam di Cheongdo.

Menurut MOH, Daegu dan Cheongdo dikenalpasti oleh pemerintah Korea Selatan sebagai "zon penjagaan khas", dan langkah-langkah sudah dilaksanakan di kawasan-kawasan tersebut untuk mengurangkan risiko jangkitan selanjutnya.

Dalam melaksanakan langkah waspada tambahan, MOH mengumumkan bahawa mulai Ahad, kes-kes yang disyaki akan diperluaskan untuk merangkumi juga mereka yang mengalami radang paru-paru atau jangkitan pernafasan yang teruk serta sesak nafas yang pernah melawat Daegu dan/atau Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum timbul simptom.

Sejak 29 Jan, semua penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi perlu menjalani pemeriksaan suhu badan. Mulai Ahad, kes-kes yang terangkum di bawah takrifan diperluaskan itu akan dirujuk ke hospital untuk penilaian selanjutnya.

"Para pegawai juga akan memantau para pengunjung sedemikian yang menunjukkan simptom pernafasan di lapangan terbang yang datang dari Korea Selatan dan semasa pemeriksaan imigresen," tambah MOH. "Para pengunjung dengan sejarah perjalanan baru-baru ini ke Daegu dan Cheongdo akan diminta untuk mengenal pasti diri mereka."

Notis Nasihat Kesihatan akan dikeluarkan kepada semua pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Changi dari Korea Selatan untuk menasihati mereka tentang langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil semasa melakukan perjalanan menuju ke kawasan terjejas atau bila mereka pulang.

Presiden Moon Jae-in pada Ahad mengumumkan Korea Selatan akan menaikkan amaran terhadap virus COVID-19 ke tahap "tertinggi". Beliau juga menggesa para pegawai agar tidak teragak-agak untuk mengambil "langkah yang tidak pernah wujud sebelum ini" untuk membendung penularan virus itu.

Nasihat perjalanan yang diumumkan sebelum ini supaya warga Singapura menangguhkan semua perjalanan tidak perlu ke Wilayah Hubei dan Tanah Besar China tetap dikekalkan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan