Skip to main content

Iklan

Iklan

Warga emas dinasihatkan supaya kurangkan interaksi sosial sedang kes COVID-19 meningkat

Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) pada Rabu (15 Sep) menyatakan bahawa para penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas seharusnya mengurangkan interaksi sosial sepanjang tempoh dua minggu akan datang sedang kes COVID-19 dalam masyarakat terus meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga emas dinasihatkan supaya kurangkan interaksi sosial sedang kes COVID-19 meningkat

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 15 Sep 2021 06:53PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 06:55PM

SINGAPURA: Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) pada Rabu (15 Sep) menyatakan bahawa para penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas seharusnya mengurangkan interaksi sosial sepanjang tempoh dua minggu akan datang sedang kes COVID-19 dalam masyarakat terus meningkat.

"Warga emas berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan yang serius jika mereka dijangkiti COVID-19," menurut agensi itu. Ia menggesa semua warga senja dan mereka yang tinggal bersama golongan tersebut supaya mengambil langkah-langkah berwaspada tambahan untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan koronavirus.

Warga emas sangat digalakkan supaya duduk di rumah sebanyak mungkin dan mengelakkan tempat-tempat yang sesak. Mereka yang perlu keluar rumah untuk melakukan kegiatan-kegiatan penting seharusnya memakai pelitup dengan betul setiap masa dan terus mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti kerap membasuh tangan, tambah AIC.

Agensi itu juga menggalak para anggota keluarga supaya menolong warga emas di rumah dengan membeli barang keperluan. Mereka yang tinggal bersendirian pula seharusnya keluar rumah hanya untuk kegiatan-kegiatan penting saja seperti berjumpa doktor dan pulang ke rumah secepat mungkin.

Menurut AIC, warga emas boleh terus kekal aktif dengan melakukan kegiatan-kegiatan yang diusulkan dalam buku panduan yang diterbitkan oleh agensi itu dan melalui program-program kecegasan secara maya dengan memanfaatkan aplikasi Healthy365 atau membuat pendaftaran di laman ActiveSG.

Singapura melaporkan 832 kes baru COVID-19 dalam negeri pada Selasa (14 Sep), termasuk 231 individu yang berusia 60 tahun ke atas.

DAPATKAN VAKSIN

Agensi itu juga menggesa warga emas yang belum divaksin supaya berbuat demikian secepat mungkin kerana risiko sakit teruk akibat jangkitan virus tersebut adalah "enam kali ganda lebih tinggi" jika mereka belum divaksin.

Warga emas yang belum divaksin boleh mengunjungi mana-mana pusat vaksinasi, poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu membuat janji temu, tekan AIC.

Agensi itu turut menyatakan bahawa cabang pendampingan masyarakatnya, iaitu Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) akan menggandakan usaha untuk mendampingi warga senja dan membantu mereka mendapatkan vaksinasi.

AIC juga menggesa warga tua berusia 60 tahun dan ke atas yang sudah menerima kiriman SMS untuk mendapatkan suntikan dos ketiga vaksin supaya berbuat demikian.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan