Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita didenda S$5,000 kerana jumpa teman lelaki, tidak pakai pelitup dengan betul semasa 'circuit breaker'

Seorang wanita berusia 30 tahun didenda S$5,000 atas beberapa kesalahan termasuk meninggalkan rumahnya dua kali untuk berjumpa dengan teman lelakinya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita didenda S$5,000 kerana jumpa teman lelaki, tidak pakai pelitup dengan betul semasa 'circuit breaker'

Renukha Arumugam di Mahkamah Negara pada 22 Mei 2020. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 15 Jun 2020 05:03PM Dikemas Kini : 15 Jun 2020 05:04PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 30 tahun didenda S$5,000 atas beberapa kesalahan termasuk meninggalkan rumahnya dua kali untuk berjumpa dengan teman lelakinya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Renukha Arumugam didenda pada Isnin (15 Jun) setelah didakwa dengan lima tuduhan di bawah Akta (Langkah Sementara) COVID-19 2020.

Ini termasuk dua tuduhan berjumpa dengan individu yang tidak tinggal serumah dengannya bagi tujuan sosial, dua tuduhan meninggal rumah tanpa sebab munasabah dan satu tuduhan tidak memakai pelitup dengan betul ketika berada di luar.

Menurut kertas pertuduhan, Renukha meninggalkan rumahnya tiga kali - dua kali untuk berjumpa dengan teman lelakinya dan kali ketiga, untuk berjumpa dengan rakannya.

Pada 12 April sekitar 3 pagi, Renukha meninggalkan flatnya di Jurong West untuk berjumpa dengan teman lelakinya di sebuah bangku di hadapan Blok 713, Clementi West Street 2.

Lima hari kemudian, dia meninggalkan flatnya sekali lagi pada 12.30 tengah hari untuk berjumpa teman lelakinya di blok yang sama.

Renukha juga dituduh tidak memakai pelitupnya dengan betul untuk menutup hidung dan mulutnya apabila berada di tempat masuk tempat letak kereta di Blok 724, Clementi West Street 2, pada 1.30 tengah hari yang sama.

Pada 29 April, Renukha berjumpa dengan seorang rakan di kolong bloknya pada sekitar tengah malam dan keluar untuk membeli snek di pasar raya berdekatan Kelab Masyarakat Jurong Green. Mereka meluangkan masa bersama untuk kira-kira satu setengah jam.

Renukha juga yang mengajak kawannya berjumpa, menurut pihak pendakwa.

Teman lelaki Renukha diberikan notis komposisi - denda tanpa perlu hadir ke mahkamah - atas kesalahannya. Renukha tidak diberi tawaran serupa kerana pernah mencabuli peraturan beberapa kali sebelum ini, menurut dokumen mahkamah.

Dia boleh didenda sehingga S$10,000 dan dipenjara tidak melebihi enam bulan bagi setiap tuduhan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan