Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita 86 tahun korban ke-34 COVID-19 di S'pura

Seorang wanita rakyat Singapura yang berusia 86 tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (8 Jun), menjadikan angka korban di Singapura sebanyak 34 sejauh ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 86 tahun korban ke-34 COVID-19 di S'pura
Diterbitkan : 08 Jun 2021 11:24PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 11:26PM

SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura yang berusia 86 tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (8 Jun), menjadikan angka korban di Singapura sebanyak 34 sejauh ini.

Wanita itu yang dikenal pasti sebagai Kes 62680, mempunyai sejarah menghidap sejenis penyakit kencing manis yang diberi nama diabetes mellitus, kolesterol tinggi, penyakit darah tinggi dan hiptirodisme, menurut MOH dalam kemas kininya pada sebelah malam.

Beliau disahkan dijangkiti COVID-19 pada 30 April semasa dimasukkan ke wad Hospital Khoo Teck Puat atas keadaan perubatan yang tidak berkaitan. Beliau tidak divaksin bagi COVID-19.

Menurut MOH, pihak hospital telah menghubungi keluarga wanita itu dan menghulurkan bantuan.

Empat kes jangkitan tempatan dilaporkan di Singapura pada Selasa (8 Jun), termasuk seorang penghuni dormitori.

2 KES DALAM MASYARAKAT TANPA HUBUNG KAIT

Tiga daripada kes baru yang dilaporkan hari ini merupakan jangkitan dalam masyarakat. Satu berhubung kait dengan kes lalu dan sudahpun dikenakan kuarantin.

Lagi dua kes jangkitan tempatan tiada hubung kait dengan kes-kes lain dan dikesan menerusi ujian pemantauan.

Salah satu daripada kes berkenaan melibatkan seorang Penduduk Tetap Singapura (PR) berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pengurus kapal di NYK Shipmanagement. Beliau tidak mengalami simptom dan sudah divaksin sepenuhnya, dengan dos kedua disuntik pada 17 Feb.

Dikenal pasti sebagai Kes 64107, lelaki itu didapati terjangkit semasa beliau menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) pada 7 Jun sebelum menaiki kapal.

Beliau segera diasingkan apabila hasil ujian ART disahkan positif COVID-19. Hasil ujian PCR juga positif pada keesokan harinya.

Ujian-ujian yang dijalani sebelum ini di bawah ujian rutin berjadual - kali terakhir pada 3 Jun - adalah negatif COVID-19.

Hasil ujian serologi lelaki itu juga negatif bagi antigen N, yang membayangkan kehadiran jangkitan awal, menurut MOH.

Satu lagi kes dalam masyarakat tanpa hubung kait adalah seorang wanita rakyat Malaysia berusia 35 tahun yang bekerja sebagai penolong runcit di kedai roti Four Leaves di ION Orchard dan AMK Hub.

Wanita itu mengalami demam, batuk, sakit tekak dan selesema pada 5 Jun namun tidak mendapatkan rawatan perubatan sehingga 7 Jun, apabila beliau mengunjungi sebuah klinik GP.

Di sana, beliau menjalani kedua-dua ujian ART dan PCT dan segera diasingkan apabila hasil ujian ART disahkan positif COVID-19. Hasil ujian PCR juga positif COVID-19 pada hari yang sama.

Hasil ujian serologinya masih belum diperolehi.

KES DORMITORI TANPA HUBUNG KAIT

Terdapat satu kes tanpa hubung kait yang menetap di dormitori pekerja hijrahan.

Lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun itu digajikan oleh Isogo Marine Engineering sebagai tukang paip dan tukang pasang paip dan beliau bekerja di Limbungan Keppel Tuas Yard. Beliau adalah penghuni Avery Lodge di 2D Jalan Papan.

Lelaki itu tidak mengalami simptom dan sudah divaksin sepenuhnya. Jangkitannya dikesan semasa beliau menjalani ujian pada 7 Jun sebagai sebahagian daripada ujian bagi penghuni dormitori sebelum mereka mengunjungi Pusat Riadah Terusan.

Lima kes import turut dilaporkan, menurut MOH. Mereka sudahpun dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di sini. Dua daripada mereka adalah rakyat Singapura atau Penduduk Tetap Singapura (PR).

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan sembilan kes baru COVID-19 pada Selasa. Perangkaan itu merupakan jumlah terendah kes harian dalam tempoh hampir tiga bulan sejak Singapura melaporkan lapan kes COVID-19 pada 13 Mac.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan 62,219 kes jangkitan COVID-19.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan