Skip to main content

Iklan

Iklan

Wanita 84 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19; 13 kes baru dilapor dalam masyarakat

Seorang wanita berumur 84 tahun meninggal dunia pada Sabtu (26 Jun) akibat komplikasi COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 84 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19; 13 kes baru dilapor dalam masyarakat

Ujian wajib COVID-19 diadakan di Blok 125A Bukit Merah View pada 14 Jun 2021. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 26 Jun 2021 11:40PM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 11:41PM

SINGAPURA: Seorang wanita berumur 84 tahun meninggal dunia pada Sabtu (26 Jun) akibat komplikasi COVID-19.

Wanita itu adalah pesakit ke-36 yang meninggal dunia akibat koronavirus di Singapura.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), wanita itu belum divaksinasi dan mempunyai sejarah penyakit barah, tekanan darah tinggi dan tinggi kolestrol.

Dikenal pasti sebagai Kes 64255, wanita itu dikesan dijangkiti COVID-19 pada 15 Jun melalui ujian pengawasan masyarakat ke atas para pengunjung ke Blok 115 dan 116 Bukit Merah View.

Dia adalah sebahagian daripada kelompok lapan kes yang terkait dengan Kes 64264, iaitu seorang pekerja pembantu rumah hijrahan Indonesia berusia 32 tahun.

Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) sudahpun menghubungi keluarga wanita itu dan sedang menghulurkan bantuan kepada mereka, menurut MOH.

Singapura melaporkan 13 kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat tengah hari Sabtu, termasuk empat yang tiada hubung kait dengan kes-kes terdahulu.

Sebanyak sembilan kes terkait dengan jangkitan-jangkitan yang dilaporkan sebelum ini. Lima daripada mereka sudahpun dikuarantin awal dari itu dan empat dikesan menerusi ujian pengawasan, menurut MOH.

Selain itu, terdapat empat kes import dan kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar (SHN) sejurus tiba di Singapura. Tiga daripada mereka adalah rakyat atau penduduk tetap yang pulang ke sini.

Tiada kes dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 17 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu.

PENGAMBILAN KIT UJI KENDIRI BAGI SEBAHAGIAN PENDUDUK BUKIT MERAH, REDHILL

Dari Sabtu hingga Ahad (27 Jun), para penduduk dari blok-blok tertentu di kawasan Bukit Merah dan Redhill boleh mengambil kit ujian pantas antigen (ART) di Pusat Jawatankuasa Penduduk berhampiran dengan mereka.

Ini sebagai lapisan tambahan perlindungan untuk membantu mengenal pasti kes dan mengelakkan penularan lanjut koronavirus di kawasan berkenaan, menurut MOH pada Jumaat (25 Jun).

MOH menambah pihaknya sedang menyiasat beberapa kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan individu yang tinggal atau bekerja di kawasan itu, serta pengunjung di sana.

Secara berasingan, MOH menyatakan semua penduduk di 66 Eng Watt Street akan menjalani ujian wajib bagi COVID-19 selepas 13 kes positif dikesan di sana.

Sehingga Sabtu, Singapura melaporkan 62,530 kes COVID-19 dan 36 kematian akibat koronavirus. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan