Skip to main content

Iklan

Iklan

Wanita 62 tahun antara 3 kematian COVID-19; 1,173 kes baru dilapor di S'pura

Singapura melaporkan 1,173 kes baru jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari Selasa (21 Sep), merangkumi 1,038 kes dalam masyarakat dan 135 penghuni dormitori. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 62 tahun antara 3 kematian COVID-19; 1,173 kes baru dilapor di S'pura

Orang ramai di luar stesen MRT Paya Lebar. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 22 Sep 2021 07:47AM Dikemas Kini : 22 Sep 2021 07:48AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 1,173 kes baru jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari Selasa (21 Sep), merangkumi 1,038 kes dalam masyarakat dan 135 penghuni dormitori.

Terdapat juga tiga kematian akibat koronavirus itu, membawa angka korban Singapura kepada 65.

Seorang lelaki berusia 74 tahun meninggal dunia pada Ahad (19 Sep). Beliau dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng pada 31 Ogos bagi satu keadaan perubatan yang tidak berkaitan dan diuji positif COVID-19 sebaik dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, satu lagi ujian COVID-19 yang diambil pada 9 September kembali dengan keputusan positif. Lelaki itu, yang sudahpun menerima dos pertama vaksin, mempunyai sejarah penyakit buah pinggang kronik, kencing manis melitus, tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah.

Dua lagi individu - wanita berusia 62 tahun dan lelaki berumur 83 tahun - meninggal dunia pada Isnin (20 Sep), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Wanita itu, yang belum divaksin, diuji positif COVID-19 pada 23 Julai dan dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat pada keesokan harinya. Beliau mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah.

Sementara itu, lelaki berusia 83 tahun itu dibawa ke Hospital Ng Teng Fong pada 15 September dengan keadaannya bergejala dan diuji positif COVID-19 pada hari yang sama.

Beliau sudahpun divaksin dan ada sejarah penyakit penghalang pulmonari kronik, pneumonia aspirasi berulang, tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol tinggi dalam darah dan "dengan usianya yang lanjut", menjadikan beliau lebih terdedah kepada sakit teruk", menurut MOH.

Jumlah kes itu termasuk 311 warga tua berusia atas 60 tahun, menurut MOH dalam satu kemas kini harian yang dikeluarkan kepada media sekitar pukul 11.45 malam.

Terdapat juga lima kes import sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes baru sebanyak 1,178.

KES SAKIT TERUK

Terdapat 1,109 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Daripada jumlah itu, 147 kes sakit teruk memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 17 pula dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan pesakit yang sakit tenat adalah 135 warga emas berusia atas 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, 97.9 peratus kes tempatan tidak bergejala atau mengalami simptom ringan.

Terdapat 246 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 23 kes berada di ICU. Daripada jumlah itu, 54.3 peratus sudahpun lengkap divaksin dan 45.7 peratus sama ada belum divaksin atau sudahpun disuntik satu dos vaksin.

KELOMPOK BESAR

Pusat Pendidikan LearnJoy dimasukkan ke dalam senarai sembilan kelompok besar COVID-19 yang kini dipantau oleh MOH. Kelompok itu mempunyai sejumlah 10 kes meliputi seorang kakitangan dan sembilan murid.

Kelompok di My Little Campus di Yishun berkembang selepas lima jangkitan baru berkait dengannya. Kesemuanya sebanyak 24 kes dilaporkan merangkumi dua kakitangan, 20 murid dan dua anggota keluarga kepada kes-kes.

Kelompok sedia ada di Pfizer Asia Pacific pula meningkat kepada 37 kes selepas lima kes baru jangkitan dilaporkan pada Selasa (21 Sep).

Lagi 10 kes baru ditambah ke dalam kelompok di Dormitori Blue Stars, membawa jumlah keseluruhan kes jangkitan di sana kepada 133.

VAKSINASI

MOH menyatakan 82 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai menjalani rejimen vaksinasi penuh mereka atau menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus sudahpun mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos setakat Isnin.

Lebih 8.97 juta dos vaksin sudahpun disuntik di bawah program vaksinasi nasional, meliputi sekitar 4.57 juta orang dengan 4.45 juta sudahpun menyelesaikan rejimen penuh dua dos.

Lagi 184,864 dos vaksin-vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai kegunaan darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudahpun disuntik, memberi perlindungan kepada 87,125 orang.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan jumlah terkumpul 79,899 kes COVID-19 dan 65 kematian akibat penyakit itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan