Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Waktu operasi perniagaan di M'sia 8.00 pagi - 8.00 malam bermula 1 Apr

Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Waktu operasi perniagaan di M'sia 8.00 pagi - 8.00 malam bermula 1 Apr

Permandangan udara di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur semasa tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Mar 2020 06:15PM Dikemas Kini : 30 Mar 2020 06:19PM

PUTRAJAYA: Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan merangkap Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

“Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara dalam talian dan kita nasihatkan supaya mengelak daripada bersemuka dengan pihak yang menghantar barangan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini (30 Mac).

Rabu lepas, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang dikuatkuasa 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir esok (31 Mac) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

"Pada tahap kedua ini kita percaya ia tentu berbeza, ingin saya tegaskan sekatan di fasa kedua masih benarkan pergerakan, kedai-kedai masih dibuka seperti biasa cuma mungkin daripada kawalan masa," katanya.

Selain waktu operasi premis perniagaan, Encik Ismail Sabri berkata dalam fasa kedua berkenaan, waktu operasi kenderaan juga akan dikawal.

Ini termasuk waktu operasi perkhidmatan awam yang kekal dihadkan dari 6.00 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5.00 petang hingga 10 malam sahaja, manakala kenderaan persendirian hanya dibenarkan antara pukul 6.00 pagi sehingga 10 malam, termasuk perkhidmatan teksi.

"Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan," katanya.

Untuk pengangkutan komersil yang melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan, Encik Ismail Sabri berkata mereka digalakkan beroperasi dari 7.00 malam sehingga 7 pagi, namun jelasnya ia bukanlah satu arahan.

"Ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk beroperasi, mungkin dari Johor Bahru ke Perlis tak boleh selesai… jadi kita bersetuju supaya pengecualian diberikan, walaupun kita galakkan beroperasi pada waktu sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya bagi aktiviti riadah dan sosial sepanjang fasa kedua PKP, semua tempat tidak dibenarkan tidak kira kawasan awam atau persendirian walaupun ia kawasan berpagar.

"Kita tak nak membezakan yang dalam kawasan berpagar mahupun di luar, siapa sahaja, undang-undang kita sama merangkumi semua tak ada perbezaan dari segi penguatkuasaan.

"Tetapi kita ada kelonggaran untuk golongan autisme dan Orang Kelainan Upaya untuk menjalani terapi seperti dinasihatkan pakar. Bagaimanapun, kita melarang secara berkumpulan, walaupun ia diperlukan di luar," katanya.

Mengenai aktiviti di rumah ibadat, beliau berkata semua aktiviti masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP sepertimana sebelum ini termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : Bernama/SU/TQ
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan