Skip to main content

Iklan

Iklan

Virus korona COVID-19: Diskriminasi terhadap pekerja jagaan kesihatan 'memalukan', kata Amrin Amin

Diskriminasi terhadap pekerja penjagaan kesihatan disebabkan rasa syak mengenai hubungan rapat dengan kes penyakit virus korona COVID-19 adalah "memalukan", menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Feb 2020 05:46PM Dikemas Kini : 12 Feb 2020 10:57PM

SINGAPURA: Diskriminasi terhadap pekerja penjagaan kesihatan disebabkan rasa syak mengenai hubungan rapat dengan kes penyakit virus korona COVID-19 adalah "memalukan", menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin.

"Saya ingin mengulas tentang satu perkara, iaitu mengenai diskriminasi yang hadapi para pegawai penjagaan kesihatan kita," katanya kepada para wartawan pada Rabu (12 Feb).

"Kita baca laporan tentang jururawat yang dilarang naik lif, sebaliknya terpaksa gunakan tangga. Jururawat yang diminta keluar dari kereta api... pemandu ambulans diminta supaya tidak membeli makanan, agar tidak menjangkiti orang lain," menurut Encik Amrin.

"Ini adalah insiden-insiden yang malang, dan amat memalukan."

Encik Amrin berkata demikian selepas timbul beberapa laporan tentang pekerja penjagaan kesihatan dijauhi orang awam disebabkan kebimbangan berhubung virus baru itu.

"Perbuatan itu tidak mencerminkan nilai dan keperibadian rakyat Singapura," tambah beliau. "Dalam waktu sukar atau krisis, kita mesti berdiri teguh bersama dan bersatu hati. Mereka lelaki dan wanita biasa yang berkhidmat kepada Singapura.

"Sebahagian daripada mereka tampil ke depan untuk menghulurkan khidmat secara sukarela. Saya rasa mereka layak menerima sokongan dan dorongan kita.

"Saya menggesa semua rakyat Singapura supaya menggalak mereka dan mengiktiraf sumbangan mereka pada ketika ini."

Encik Amrin menggesa rakyat Singapura agar "mengutuk perbuatan memalukan" yang dilakukan segolongan kecil penduduk, dan menunjukkan dengan jelas bahawa perbuatan-perbuatan sedemikian tidak mewakili rakyat Singapura.

"Kita lebih baik daripada itu," tambahnya. "Dan kita akan menunjukkan kepada Singapura dan seluruh dunia siapa kita sebenarnya."

Encik Amrin berkata orang ramai tidak perlu cemas kerana semua kakitangan perubatan kecemasan akan memakai peralatan perlindungan peribadi apabila memberi respons kepada semua jenis panggilan, bukan sahaja kes yang disyaki virus COVID-19.

"Ambulans tersebut, setelah menghantar seorang pesakit yang disyaki hidap virus COVID-19, akan dibersih dengan amat teliti. Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau," tambahnya.

Encik Amrin berkata demikian di ibu pejabat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di mana beliau bertemu dengan para pegawai barisan hadapan yang mengendalikan kes disyaki virus COVID-19.

"Saya berada di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua lelaki dan wanita kita yang dengan berani berkhidmat kepada Singapura pada waktu sukar ini," katanya.

"Mereka juga tampil ke depan. Kebanyakannya berkata mereka juga berasa gementar, meskipun demikian mereka terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan saya berpendapat mereka layak dihormati." 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan