Skip to main content

Iklan

Iklan

Vietnam tawar vaksin Pfizer kepada yang sudah terima AstraZeneca sebagai dos pertama

Vietnam akan menawarkan vaksin koronavirus yang dihasilkan bersama oleh Pfizer dan BioNTech sebagai pilihan dos kedua bagi mereka yang sudah menerima AstraZeneca sewaktu suntikan dos pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Vietnam tawar vaksin Pfizer kepada yang sudah terima AstraZeneca sebagai dos pertama

Seorang wanita menerima suntikan vaksin sedang Vietnam melancarkan secara rasmi vaksin AstraZeneca bagi pekerja jagaan kesihatan di wilayah Hai Duong, Vietnam, pada 8 Mac 2021. (Gambar fail: Thanh Hue/REUTERS)

Diterbitkan : 14 Jul 2021 07:59AM Dikemas Kini : 14 Jul 2021 08:00AM

HANOI: Vietnam akan menawarkan vaksin koronavirus yang dihasilkan bersama oleh Pfizer dan BioNTech sebagai pilihan dos kedua bagi mereka yang sudah menerima AstraZeneca sewaktu suntikan dos pertama.

Demikian diumumkan oleh pemerintah negara itu pada Selasa (13 Jul).

Kempen vaksinasi besar-besaran Vietnam berada pada peringkat awal dengan kurang 300,000 orang sudahpun divaksinasi sejauh ini.

Sejauh ini, ia menggunakan vaksin koronavirus AstraZeneca dan minggu lalu, ia menerima penghantaran 97,000 dos vaksin mRNA Pfizer-BioNTech.

"Vaksin-vaksin Pfizer akan diutamakan bagi mereka yang diberikan suntikan dos pertama AstraZeneca pada lapan hingga 12 minggu sebelumnya," menurut pemerintah dalam satu kenyataan.

Beberapa negara - termasuk Kanada, Sepanyol, Korea Selatan - sudahpun meluluskan campuran dos terutama sekali disebabkan keprihatinan berhubung pembekuan darah yang jarang berlaku dan berpotensi membawa maut yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca.

Satu kajian Sepanyol mendapati gabungan Pfizer-AstraZeneca sangat selamat dan berkesan, berdasarkan keputusan awal.

Namun, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin (12 Jul) menasihatkan agar vaksin-vaksin COVID-19 tidak digabungkan dan dipadankan. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu "trend berbahaya" memandangkan kurang data sedia ada mengenai kesan kesihatan.

Vietnam sedang berusaha untuk mempercepatkan kempen vaksinasinya sedang kadar jangkitan meningkat, dengan kes-kes harian mencatat rekod sebanyak lapan kali pada bulan ini sahaja.

Ia melaporkan 2,031 kes baru semalam, kebanyakannya di Bandar Ho Chi Minh, yang menjadi pusat penularan.

Sebelum Mei 2021, ia melaporkan kurang 3,000 kes koronavirus secara keseluruhan. Jumlah kes terkumpul di negara itu kini 34,500, dengan 130 kematian.

Vietnam menyatakan pada Selasa ia akan menerima 1.5 juta dos vaksin AstraZeneca, yang didermakan oleh Australia, tidak lama lagi.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan