Koronavirus

Images
  • us covid-19
    (Gambar: Reuters)

Varian baru dari Brazil kini dikesan di AS

MINNEAPOLIS: Varian baru koronavirus yang dikesan di Brazil kini muncul buat pertama kali di Amerika Syarikat, melibatkan seorang individu yang pulang ke Minnesota baru-baru ini selepas melakukan perjalanan ke Brazil. Demikian menurut para pegawai kesihatan dari wilayah berkenaan pada Isnin (25 Jan).

Virus yang dikenali sebagai varian P1 itu dikesan dalam spesimen pesakit yang tinggal di kawasan Minneapolis-St Paul. Beliau jatuh sakit pada minggu pertama bulan ini, menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Minnesota.

Para ahli epidemiologi menemu bual pesakit itu sekali lagi untuk mendapatkan lebih banyak butiran tentang penyakit yang dialaminya, sejarah perjalanan dan juga kontak rapatnya.

Tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa varian baru itu sedang menular di wilayah tersebut.

Virus-virus sentiasa bermutasi dan versi baru, yang dipanggil varian, kadangkala muncul.

Para pegawai kesihatan juga bimbang tentang varian baru itu yang pertama kali dilaporkan di United Kingdom dan Afrika Selatan. Para penyelidik percaya bahawa ia mungkin lebih mudah berjangkit berbanding virus yang sudahpun menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit di Amerika Syarikat dan meragut nyawa hampir 420,000 orang.

Varian dari Brazil itu pertama kali dikesan dalam kalangan empat orang pelawat yang diuji di sebuah lapangan terbang di luar Tokyo, Jepun. Ia mengandungi beberapa mutasi yang mungkin mempengaruhi kemampuannya untuk dikenal pasti oleh antibodi, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Sesetengah penyelidik turut menyuarakan keprihatinan sekiranya varian dari Brazil itu mungkin berupaya menjangkiti semula para pesakit yang pernah terkena jangkitan COVID-19.

- AFP/AY/na

Top