Koronavirus

Images
  • britain covid
    Gambar: AFP

UK bimbang varian baru COVID-19 mungkin buat vaksin kurang berkesan

LONDON: Britain pada Khamis (25 Nov) menyatakan ia bimbang tentang varian koronavirus yang baru dikesan di Afrika Selatan yang mungkin membuat vaksin-vaksin kurang berkesan dan menghambat kemajuan sejagat dalam melwan pandemik itu.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK menyatakan varian dipanggil B.1.1.529 itu mengandungi protein pepaku yang jauh berbeza berbanding koronavirus yang asal yang digunakan untuk menghasilkan vaksin-vaksin COVID-19.

Para pegawai menyifatkan varian yang mutasinya lebih seganda berbanding varian Delta yang dominan sekarang ini, sebagai "paling teruk sejauh ini", lapor Reuters.

Ia hanya pertama kali dikesan pada awal minggu ini tetapi Britain bergegas untuk menguatkuasakan sekatan perjalanan ke atas Afrika Selatan dan lima negara jiran, sekali gus bertindak lebih cepat berbanding varian-varian sebelum ini.

"Apa yang kita tahu adalah terdapat jumlah mutasi yang amat banyak, mungkin lebih seganda berbanding apa yang kita lihat dalam varian Delta," kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid.

"Dan ini bermakna ia mungkin lebih mudah dijangkiti dan vaksin-vaksin sekarang ini mungkin kurang berkesan."

Britain mengumumkan bahawa ia melarang buat sementara pesawat dari Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho dan Eswatini mulai 1200 GMT pada Jumaat dan para pelawat Britain dari negara-negara tersebut, yang pulang ke tanah air, perlu menjalani kuarantin.

Encik Javid berkata lebih banyak data diperlukan tetapi sekatan perjalanan penting sebagai langkah berjaga-jaga sedang para saintis berkata kajian makmal diperlukan untuk menilai kemungkinan mutasi mengurangkan dengan banyak keberkesanan vaksin, menurut Reuters.

Para pegawai sudahpun menasihatkan kerajaan tentang perlunya tindakan pantas diambil terlebih dahulu sekiranya kebimbangan tentang kesan varian itu benar-benar berlaku, meskipun ia dijangka mengambil beberapa minggu untuk mendapatkan semua maklumat yang diperlukan tentang sifat varian tersebut.

Pada awal Khamis, saintis Afrika Selatan berkata mereka mengesan varian baru COVID-19 itu dalam jumlah kecil dan sedang berusaha memahami potensi kesannya.

Varian tersebut juga ditemui di Botswana dan Hong Kong tetapi Agensi Keselamatan Kesihatan UK menyatakan tiada kes varian itu yang dikesan di Britain, lapor Reuters.

"Bukti awal daripada pemantauan genomik di Afrika Selatan menunjukkan bahawa B.1.1.529 membawa kebimbangan serius," kata Timbalan Pengarah Besar Makmal Biologi Molekul Eropah Ewan Birney.

"Kita tahu bahawa tindakan awal jauh lebih baik berbanding tindakan yang lambat. Varian ini mungkin didapati bukanlah pengancam sebesar Alpha dan Delta tetapi potensi padah, disebabkan tidak mengambil tindakan ke atas kemungkinan itu, berat."

- REUTERS/SM/sm

Top