Skip to main content

Iklan

Iklan

Ujian swab COVID-19 kian berkurangan di Indonesia; pemerintah arah turunkan harga PCR

Jumlah kes mingguan baru Indonesia terus merosot tetapi ia kerana ujian bagi COVID-19 juga semakin berkurangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian swab COVID-19 kian berkurangan di Indonesia; pemerintah arah turunkan harga PCR

Klinik Fast Lab adalah salah satu di ibu kota Jakarta yang menawarkan ujian PCR COVID-19.

Diterbitkan : 04 Sep 2021 06:54PM Dikemas Kini : 04 Sep 2021 06:58PM

JAKARTA: Jumlah kes mingguan baru Indonesia terus merosot tetapi ia kerana ujian bagi COVID-19 juga semakin berkurangan.

Untuk meningkatkan ujian, pemerintah telahpun mengarahkan pengurangan harga ujian PCR.

Klinik Fastlab adalah salah satu di ibu kota Jakarta yang menawarkan ujian PCR COVID-19. Ujian tersebut menjadi tahap emas untuk mengesan koronavirus dengan tepat.

Orang ramai menunggu untuk mendapatkan suntikan dos vaksin COVID-19 di Surabaya, wilayah Jawa Timur, Indonesia, pada 6 Ogos 2021. (Gambar: Antara Foto/Zabur Karuru menerusi REUTERS)

Berita baik bagi para pesakit di Indonesia sekarang adalah ujian tersebut kini lebih murah.

Harganya serendah AS$34 (S$45) iaitu hampir separuh harga sebelumnya.

Klinik yang terletak di daerah Jakarta Pusat itu dilengkapi dengan makmal untuk memproses ujian PCR Covid-19. Hasil ujiannya biasanya dapat diketahui dalam masa enam jam sahaja.

Menteri Kesihatan Indonesia mengatakan kos ujian PCR kini antara yang paling rendah di Asia Tenggara.

Indonesia sekarang mengimport bahan agen dan komponen ujian swab PCR.

"Kalau nanti kita tidak melakukan import, automatis HPP jadi kos internal, beban HPP kami bisa berkurang. Mungkin dengan pemerintah memberikan stimulus pengurangan dan insentif pajak import dan sebagainya, itu yang menjadi kos bisa berkurang. Kalau kos kita berkurang, kita bisa tekan harga jual," kata Pengarah Fastlab Clinic & Laboratory, Felicia Christie.

Indonesia baru sahaja dapat menangani pertambahan kes COVID-19 akibat varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Pada Julai lalu, kes harian di Indonesia melonjak kepada lebih 50,000 kes sekali gus memberi tekanan kepada sistem jagaan kesihatan negara itu.

Sekatan-sekatan pergerakan di merata Indonesia sudahpun membantu mengurangkan jumlah jangkitan.

Namun, kurangnya kes COVID-19 juga mungkin akibat ujian yang berkurangan.

Seorang peniaga di sebuah pasar tradisional menjalani ujian swab di Depok, berhampiran Jakarta, Indonesia, pada 16 Mei 2020. (Gambar: Asprilla Dwi Adha/Antara Foto menerusi REUTERS)

Para pemilik klinik menyatakan mereka menyaksikan jumlah pesakit yang berkurangan sejak pertengahan Julai lalu.

"Beberapa orang yang memang agak keberatan untuk dilakukan pemeriksaan ini tentunya mereka melihat konsekuensi. Ketika dinyatakan positif, tentunya harus diasingkan kendiri, harus tidak boleh diizinkan bekerja dan sebagainya. Itu kemungkinan yang menjadi pertimbangan mereka untuk tidak melakukan pemeriksaan swab," ujar pemilik Klinik Graha Tsuraya, Dr Riwanti Yuliami.

Indonesia merancang hala tuju ujian COVID-19 dari penyakit akut kepada endemik. Pada masa hadapan, ujian akan lebih tertumpu kepada dasar keperluan.

"Istilahnya para ahli kesihatan adalah ujian epidemiologi bukan ujian untuk pemantauan iaitu ujian yang dilakukan ke atas suspek dan kontak erat yang memang bergejala. Bukan semua orang diuji kerana mahu melakukan kegiatan tertentu," kata Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi.

Indonesia mungkin sudah melepasi masa-masa sukar dalam menangani COVID-19 tetapi ia belum terlepas daripada masalah tersebut.

Dengan kadar kes positif masih berlegar atas lima peratus dan dengan kadar ujian yang rendah, pihak berkuasa akan lebih berhati-hati apabila gelombang jangkitan seterusnya melanda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SB/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan