Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian pantas antigen COVID-19 tambahan dilaksanakan bagi semua individu dengan simptom

Untuk mempercepat usaha mengesan kes-kes COVID-19, ujian Pantas Antigen (ART) akan dijalankan ke atas semua individu yang mendapatkan rawatan dengan mengalami simptom-simptom.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian pantas antigen COVID-19 tambahan dilaksanakan bagi semua individu dengan simptom

Ujian Pantas Antigen. (Gambar: Raffles Medical Group)

Diterbitkan : 14 May 2021 03:15PM Dikemas Kini : 14 May 2021 03:17PM

SINGAPURA: Untuk mempercepat usaha mengesan kes-kes COVID-19, ujian Pantas Antigen (ART) akan dijalankan ke atas semua individu yang mendapatkan rawatan dengan mengalami simptom-simptom.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (14 Mei).

Ini selain ujian-ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) yang dijalankan sekarang ke atas orang-orang yang mungkin mengalami simptom COVID-19 seperti demam, jangkitan pernafasan akut (ARI) atau hilang deria rasa dan bau.

Ujian tambahan itu perlu dijalankan ke atas semua individu dengan simptom-simptom sedemikian yang pergi berjumpa doktor di Klinik-Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang mempunyai program Swab dan Hantar Pulang, poliklinik, jabatan kecemasan dan pusat-pusat swab daerah.

"Meskipun ART kurang tepat berbanding ujian PCR dan akan ada lebih banyak keputusan positif palsu berbanding negatif palsu, proses ART yang lebih cepat berbanding ujian PCR akan membolehkan kami mengambil tindakan kesihatan lebih pantas ke atas orang-orang yang diuji positif menerusi ART," menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Keputusan daripada ujian-ujian ART lazimnya mengambil masa hanya 30 minit tetapi ia boleh mengambil masa 48 jam bagi ujian-ujian PCR, memandangkan sampel-sampel perlu dihantar ke makmal untuk diuji.

Kedua-dua ujian ART dan PCR akan dibiayai oleh Pemerintah bagi semua yang datang sendiri berjumpa doktor dengan simptom-simptom ARI, menurut MOH.

Ini di tengah-tengah kenaikan kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat, dengan sebahagiannya tidak ada kaitan, kelompok-kelompok di Lapangan Terbang Changi dan Hospital Tan Tock Seng serta kes-kes yang dikesan di sekolah-sekolah.

Encik Gan, yang bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, berkata ART akan membolehkan jangkitan dikesan lebih cepat supaya pihak berkuasa boleh memulakan pengesanan kontak.

Kontak-kontak rapat kes-kes jangkitan juga boleh dikuarantin lebih awal.

"Jika terdapat keputusan positif palsu kami boleh mengesahkannya menerusi PCR namun sementara itu, sebaik sahaja kami mendapat keputusan positif sebenar, kami boleh mula melakukan pengesanan kontak dan mengawal dan mengenakan kuarantin ke atas kontak-kontak rapat. Ini memberikan ruang bertindak lebih awal membendung penularan," kata beliau.

Beliau menggesa mereka yang mengalami simptom-simptom supaya tampil ke depan secepat mungkin.

"Meskipun kami dapat menyingkatkan tempoh ujian, jika pesakit hanya datang ke institusi jagaan kesihatan sehari atau dua hari kemudian, ia akan mensia-siakan keseluruhan usaha untuk mencuba menyingkatkan tempoh pengujian," kata Encik Gan.

Oleh kerana ujian sedemikian tidak setepat ujian PCR, kedua-duanya mesti dijalankan untuk mengesahkan jangkitan, tambah Encik Gan.

Pengarah Khidmat Perubatan Kenneth Mak juga berkata MOH sedang bekerjasama dengan makmal-makmal untuk meningkatkan keupayaannya sekiranya Singapura perlu meningkatkan ujian.

PERKEMBANGAN TERKINI VAKSINASI

MOH pada Jumaat (14 Mei) mendedahkan maklumat terkini bahawa Singapura sudah memberikan lebih 3.2 juta dos vaksin COVID-19.

Sekitar 1.9 juta individu sudahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Antaranya, sekitar 1.3 juta orang sudah menerima dos kedua.

"Kes-kes terbaru sekarang ini menunjukkan bahawa vaksinasi mungkin tidak menghapuskan risiko jangkitan sepenuhnya. Bagaimanapun, ia menyediakan perlindungan besar terhadap jangkitan dan membantu mengurangkan tahap kemudaratan penyakit dan penularan lanjut," menurut MOH.

Ia menambah vaksinasi kekal sebagai "pengupaya utama" dan keupayaannya untuk membantu Singapura dibuka semula secara selamat hanya dapat dirasakan apabila kadar tinggi vaksinasi dalam kalangan penduduk dicapai.

"Kami menggesa semua orang supaya menerima vaksinasi apabila ia ditawarkan kepada anda. Patuhi semua langkah pengurusan selamat, berjumpa doktor dan jalani ujian jika anda rasa tidak sihat," menurut MOH.

PELINDUNG MUKA

MOH juga mengemas kini nasihat pengurusan selamat untuk menghadkan penggunaan pelindung muka.

Menurutnya, kajian mendapati bahawa pelindung muka tidak boleh menggantikan pelitup untuk melindungi pemakainya daripada jangkitan menerusi titisan dan "tidak cukup mencegah" penularan menerusi titisan jika pemakainya dijangkiti.

"Maka itu, pelindung muka tidak seharusnya digunakan sebagai pengganti pelitup, kecuali atas sebab-sebab perubatan atau apabila kanak-kanak itu berusia 12 tahun dan ke bawah; atau bagi pasangan yang sedang bernikah," menurut MOH. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan