Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian COVID-19 ditawar kepada pekerja di pusat penghantaran, firma penghantaran logistik utama

Ujian COVID-19 akan ditawarkan kepada para pekerja yang bertugas di pusat-pusat penghantaran utama dan syarikat-syarikat penghantaran logistik utama dalam minggu-minggu mendatang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian COVID-19 ditawar kepada pekerja di pusat penghantaran, firma penghantaran logistik utama

(Gambar: Facebook/Lee Hsien Loong)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 10:16PM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 10:21PM

SINGAPURA: Ujian COVID-19 akan ditawarkan kepada para pekerja yang bertugas di pusat-pusat penghantaran utama dan syarikat-syarikat penghantaran logistik utama dalam minggu-minggu mendatang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (26 Nov).

MOH juga mengumumkan bahawa mulai 11.59 malam pada Sabtu (28 Nov), para pengunjung yang mempunyai sejarah perjalanan ke Finland dan Turki sepanjang 14 hari yang lalu, perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan-kemudahan khusus.

UJIAN COVID-19 DILAKSANA BAGI LEBIH RAMAI KUMPULAN MASYARAKAT

Ujian COVID-19 yang ditawarkan kepada para pekerja di pusat-pusat penghantaran utama seperti di Pusat Borong Pasir Panjang dan syarikat-syarikat logistik utama adalah sebahagian daripada usaha untuk "memberikan gambaran lebih tepat akan penyebaran COVID-19 dalam masyarakat serta memudahkan usaha membendung penularan kes-kes tersembunyi terlebih awal dalam masyarakat", menurut MOH.

MOH mengumumkan pada Rabu (25 Nov) bahawa ia akan menawarkan ujian COVID-19 kepada para pemilik gerai di sekitar Pusat Tekka pada minggu ini, dengan ujian dijalankan berhampiran stesen MRT Little India.

Pasukan bertindak berbilang kementerian secara bertahap-tahap menjalankan ujian COVID-19 bagi golongan masyarakat yang dikenal pasti seperti para pemilik gerai, kakitangan penghantar makanan dan jurujual di seluruh Singapura, menurut MOH.

Lebih daripada 5,000 orang sudah pun diuji di Marine Parade, Ang Mo Kio dan Taman Jurong sejak September, dan kesemuanya diuji negatif bagi COVID-19.

"Keputusan daripada operasi ujian dalam masyarakat itu menandakan terdapat kadar jangkitan yang rendah dalam masyarakat, dan ia juga satu petanda bahawa langkah jarak selamat kami bantu untuk melindungi masyarakat," menurut MOH.

Ia juga akan "menghubungi golongan masyarakat lain yang dikenal pasti" bagi menawarkan ujian sekali sahaja itu.

MOH "sangat" menggalakkan mereka dalam kumpulan masyarakat yang dikenal pasti itu supaya memanfaatkan khidmat ujian yang ditawarkan, sambil menambah bahawa kos ujian akan dibiayai sepenuhnya oleh Pemerintah.

LANGKAH LEBIH KETAT BAGI PENGUNJUNG DARI FINLAND, TURKI

Kesemua pengunjung yang tiba di Singapura mulai pukul 11.59 malam pada Sabtu dengan sejarah perjalanan ke Finland atau Turki sepanjang 14 hari lalu, perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan-kemudahan khusus.

Ini adalah semakan terhadap pengumuman pada 27 Okt yang menyatakan bahawa para pengunjung dari kedua-dua negara itu dibenarkan untuk menjalani SHN di tempat penginapan yang sesuai.

Langkah baru itu turut menjejas para pengunjung yang sebelum ini mendapat kelulusan untuk dikecualikan daripada menetap di kemudahan khusus.

"Pasukan bertindak berbilang kementerian memantau dengan teliti situasi COVID-19 secara global, dan akan memperketat sekatan sempadan menyusuli kenaikan kes COVID-19 di Finland dan Turki," menurut MOH.

Para pengunjung dari Fiji, Korea Selatan, Sri Lanka dan Thailand masih dibenarkan untuk mohon pengecualian dari perlu menetap di kemudahan khusus dan menjalani SHN selama 14 hari di tempat kediaman mereka, jika mereka memenuhi kriteria berikut:

- tidak mengunjungi negara/wilayah lain selain daripada negara yang dinyatakan seperti di atas, serta Australia, Brunei, Hong Kong, Macau, tanah besar China, New Zealand, Taiwan dan Vietnam, sepanjang tempoh 14 hari sebelum kemasukan; dan

- tinggal seorang diri atau bersama anggota keluarga yang turut menjalani Notis Jangan Keluar Rumah dengan sejarah perjalanan dan tempoh notis yang sama

"Kami akan terus menyemak dan menyesuaikan langkah sempadan kami bagi memastikan pembukaan semula sempadan kami secara selamat, di samping memudahkan penyambungan semula kegiatan ekonomi utama yang penting demi penakatan," menurut MOH.

"Pelaksanaan ujian kekal sebagai pemboleh utama bagi pembukaan semula secara selamat, dan kami akan terus melanjutkan ujian pengawasan ini secara bertahap-tahap kepada lebih banyak kumpulan masyarakat di seluruh Singapura."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan