Ubat COVID-19: Agensi Perubatan Eropah siasat kemungkinan kerosakan ginjal
Agensi Perubatan Eropah (EMA) pada Jumaat (2 Okt), menyatakan ia sedang menyiasat laporan kemungkinan kerosakan buah pinggang "akut" pada pesakit yang mengambil ubat virus korona, remdesivir yang dihasilkan syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat, Gilead.
THE HAGUE: Agensi Perubatan Eropah (EMA) pada Jumaat (2 Okt), menyatakan ia sedang menyiasat laporan kemungkinan kerosakan buah pinggang "akut" pada pesakit yang mengambil ubat virus korona, remdesivir yang dihasilkan syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat, Gilead.
Agensi itu mengesyorkan penggunaan ubat antiviral yang dijual dengan jenama Veklury pada Jun lalu, selepas kajian menunjukkan ia dapat mengurangkan tempoh rawatan di hospital bagi pesakit COVID-19.
"Jawatankuasa Keselamatan EMA sudah memulakan semakan semula...untuk menilai laporan kecederaan buah pinggang akut dalam kalangan beberapa pesakit COVID-19 yang mengambil ubat antiviral Veklury (remdesivir)," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Tambah agensi itu lagi, ia "belum dapat menentukan sama ada terdapat kaitan hubungan" antara remdisivir dan masalah buah pinggang.
Bagaimanapun, katanya, masalah itu "memerlukan penyelidikan lebih lanjut".
Mengulas lanjut, agensi itu berkata, jangkitan COVID-19 juga boleh mengakibatkan kecederaan pada buah pinggang.
Menurutnya lagi, saranan untuk menggunakan ubat itu tidak berubah buat masa ini.
Kelulusan penggunaannya untuk pesakit COVID-19 diperolehi menerusi 'jalan pintas' dengan syarat ujian lebih lanjut akan dijalankan.
Agensi itu berkata jika terbukti ubat antiviral itu ada kaitan dengan masalah buah pinggang, perubahan mungkin hanya terhad kepada risalah bagi memberi amaran kepada pengguna mengenai kemungkinan kesan sampingan ubat tersebut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan remdesivir masih dalam ujian percubaan.
"Kami berhubung rapat dengan Agensi Perubatan Eropah dan mengikuti setiap penyelidikan yang mereka lakukan," kata Pengarah Pra-kelayakan dan Peraturan WHO, Emer Cook.
"Setakat yang saya faham, siasatan ini berada di tahap awal pembangunan, tetapi kami akan menghubungi dan memastikan kami mendapatkan laporan susulan berhubung ujian yang sedang berlangsung."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.