Koronavirus

Images
  • foreign workers covid virus korona singapore
    Para pekerja asing beratur menunggu makanan di dormitori Tuas South pada 19 Apr 2020 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Tidak bekerja akibat COVID-19, kebanyakan pekerja asing risau tidak dapat gaji: Tinjauan

SINGAPURA: Ramai pekerja asing di Singapura dilanda rasa bimbang dan ragu bahawa mereka akan dibayar gaji kerana tidak lagi bekerja sekarang. Sugguhpun begitu, mereka takut untuk menyuarakan tentang masalah yang mereka hadapi.

Ini adalah hasil satu tinjauan ke atas 101 pekerja asing dari Bangladesh dan India.

Sekitar 80% pekerja juga mengalami cabaran mengekalkan jarak selamat 1 meter daripada yang lain kerana "keadaan sempit" di dormitori mereka, menurut tinjauan itu.

Profesor Mohan Dutta, yang sebelum ini merupakan ketua jabatan komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura, menjalankan tinjauan itu menerusi wawancara telefon bersama para pekerja tersebut antara 9 dengan 20 April.

Hasil tinjauan dibentangkan dalam kertas putih berjudul "Kekangan struktur, infrastruktur suara, dan kesihatan mental di kalangan pekerja asing bergaji rendah di Singapura: Huraian bagi menangani COVID-19".

TERTEKAN DAN BIMBANG TENTANG GAJI

Sedang jumlah jangkitan di kelompok dormitori meningkat, Pemerintah telah memberi jaminan kepada para pekerja asing yang kini menjalani kuarantin 14 hari di dormitori mereka, bahawa gaji mereka akan dibayar dan makanan serta keperluan perubatan mereka akan dijaga.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menekankan perkara ini pada Khamis, semasa satu lawatan ke sebuah dormitori di mana seorang pekerja telah meninggal dunia.

Bagaimanapun di dalam tinjauan itu, 53.5 peratus pekerja yang diwawancara amat tidak bersetuju dengan kenyataan, "Saya yakin saya akan mendapat gaji meskipun saya tidak lagi bekerja akibat COVID-19".

Mereka yang tidak setuju dan agak tidak setuju dengan kenyataan itu juga membentuk jumlah yang besar, merangkumi sekitar sepertiga daripada mereka yang ditinjau. Empat peratus tidak tidak dapat memberikan pendapat sama ada mereka setuju atau tidak. 10 peratus pekerja bersetuju dengan kenyataan itu, manakala masing-masing 1 peratus setuju dan sangat setuju.

Apabila ditanya sekiranya mereka berasa sedih atau murung, hasilnya agak serupa. 70 peratus responden sangat setuju, setuju atau agak setuju dengan kenyataan itu.

Bagaimanapun, 66 peratus pekerja menyatakan bahawa mereka sama ada tidak begitu pasti atau tidak tahu bagaimana untuk menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi menghuraikan cabaran yang mereka hadapi.

70 peratus daripada mereka menyatakan bahawa mereka tidak tahu atau tidak pasti kepada siapa mereka boleh bercakap sekiranya mereka menghadapi kesukaran.

Hampir 63 peratus daripada mereka amat bersetuju atau setuju dengan kenyataan: "Saya berasa takut mengutarakan sebarang isu yang saya alami."

TIDAK CUKUP SABUN DAN AIR UNTUK CUCI TANGAN

Selain keadaan bilik yang sempit, para pekerja menarik perhatian mengenai isu-isu berhubung tandas kerana lebih ramai pekerja kini berada di dalam bilik sepanjang hari.

55.6 peratus responden bersetuju atau amat bersetuju dengan kenyataan bahawa tandas mereka kotor, manakala 41 peratus bersetuju atau amat bersetuju bahawa mereka tidak mempunyai bekalan sabun dan cecair pembasmi kuman yang mencukupi untuk membersihkan tangan mereka.

Ditanya sama ada mereka mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk mencuci tangan mereka, 54 peratus peserta tidak setuju atau amat tidak setuju.

Bagaimanapun, 90 peratus menunjukkan kesedaran mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mencegah penularan COVID-19.

- TODAY/NA/na

Top