Skip to main content

Iklan

Iklan

Tidak ada bukti virus COVID-19 boleh jangkiti manusia menerusi makanan, peralatan atau bungkusan makanan

Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (14 Ogos) menyatakan pihaknya tidak tahu tentang sebarang bukti yang menunjukkan bahawa virus COVID-19 boleh menjangkiti manusia menerusi makanan, peralatan atau bungkusan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak ada bukti virus COVID-19 boleh jangkiti manusia menerusi makanan, peralatan atau bungkusan makanan

Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Thomas Peter)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 10:10PM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 10:13PM

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (14 Ogos) menyatakan pihaknya tidak tahu tentang sebarang bukti yang menunjukkan bahawa virus COVID-19 boleh menjangkiti manusia menerusi makanan, peralatan atau bungkusan makanan.

Agensi itu menambah bahawa ini sejajar dengan apa yang diketahui sekarang dalam masyarakat saintifik dan pihak berkuasa kesihatan awam di merata dunia. SFA menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai beberapa laporan virus bahawa virus korona ditemui pada makanan beku dan bungkusan di China.

SFA menyatakan pihaknya sedang memantau perkembangan dengan teliti dan akan "mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi keselamatan makanan di Singapura".

SFA membuat kenyataan yang serupa pada Jun di tengah-tengah laporan bahawa virus korona ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk ikan salmon di pasar Xinfadi di Beijing.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga kes di mana virus korona dikesan pada makanan beku atau bungkusan makanannya di China pada minggu lalu.

Satu contoh kepak ayam beku yang diimport ke Shenzhen dari Brazil diuji positif virus korona, setelah sebuah bandar di wilayah Anhui mengesan virus sama pada luar bungkusan udang beku dari Ecuador.

Sebelum itu, pihak berkuasa di China menemui virus korona di luar bungkusan makanan laut beku import yang tiba dari Dalian di Yantai, sebuah bandar pelabuhan di Shandong.

Virus korona boleh bertahan sehingga dua tahun pada suhu 20 darjah Selsius di bawah sifar. Bagaimanapun saintis dan pegawai berkata tiada bukti kukuh sejauh ini tentang virus korona itu boleh menular menerusi makanan beku.

"Orang ramai tidak seharusnya rasa bimbang tentang makanan, bungkusan makanan atau penghantaran makanan," kata ketua program kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Encik Mike Ryan.

"Tiada bukti bahawa makanan atau rantaian makanan terlibat dalam proses jangkitan virus itu, dan orang ramai harus berasa selesa dan selamat."

PERSEKITARAN BOLEH "MUDAH DICEMARI" COVID-19: SFA

SFA bagaimanapun menarik perhatian, keadaan persekitaran di mana orang ramai berinteraksi boleh "mudah dicemari" dengan virus COVID-19.

"Secara amnya, sebarang urusan dengan makanan atau bungkusan makanan dan peralatan tidak berbeza dengan perbuatan lain," kata SFA, merujuk kepada tempat yang sering disentuh seperti butang lif dan tombol pintu.

"Oleh itu, SFA terus menekankan pentingnya amalan-amalan kebersihan peribadi yang baik untuk mengekalkan tahap piawai kesihatan awam yang tinggi di Singapura."

Ini termasuk:

- Segera mendapatkan rawatan perubatan dan duduk di rumah jika tidak sihat

- Kerap cuci tangan dengan sabun dan air, termasuk sebelum makan dan selepas pergi ke tandas

- Pastikan makanan dimasak dengan betul dan tidak mentah sebelum makan

- Elak menyentuh muka dengan tangan

- Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk atau bersin, dan terus membuangnya ke dalam tong sampah

- Jangan pegang/ siapkan makanan jika tidak sihat

- Jangan kongsi makanan/minuman dengan orang lain 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan