Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada rancangan kembali ke Fasa 1 pasca 'circuit breaker' selepas GE2020, kata pengarah MOH

Tiada rancangan untuk kembali ke Fasa 1 tempoh pasca pemutus rantaian jangkitan COVID-19 sejurus selepas Pilihan Raya Umum (GE), kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Selasa (7 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada rancangan kembali ke Fasa 1 pasca 'circuit breaker' selepas GE2020, kata pengarah MOH
Diterbitkan : 08 Jul 2020 12:34AM Dikemas Kini : 08 Jul 2020 12:37AM

SINGAPURA: Tiada rancangan untuk kembali ke Fasa 1 tempoh pasca pemutus rantaian jangkitan COVID-19 sejurus selepas Pilihan Raya Umum (GE), kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Selasa (7 Jul).

Singapura melangkah keluar dari tempoh 'circuit breaker' pada 1 Jun dan memasuki Fasa 1 pembukaan semula sehari kemudian. Negara ini melangkah ke Fasa 2 pada 19 Jun.

Di bawah Fasa 1, perhimpunan sosial dilarang, begitu juga menjamu selera di kedai-kedai makanan dan minuman (F&B). Kebanyakan cawangan runcit masih ditutup.

"Ada desas-desus, saya difahamkan, di media sosial mengenai bagaimana selepas pilihan raya nanti, kami akan menguatkuasakan sekatan dan kembali ke Fasa 1, kita akan kembali duduk di rumah lagi," kata Profesor Madya Mak.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan tentang apakah tahap jangkitan dalam masyarakat yang akan dianggap sebagai tekanan ke atas prasarana jagaan kesihatan dan sama ada pasukan bertidak berbilang kementerian akan menimbangkan untuk mengembalikan Singapura ke Fasa 1 pemutus jangkitan.

"Sememangnya pada saat ini, kami akan terus memantau masyarakat tetapi kami tidak secara aktif merancang untuk mengatakan bahawa sejurus selepas pilihan raya, kami akan kembali dengan segera ke Fasa 1, itu bukan rancangan kami," tambah Prof Madya Mak.

"Tetapi kami sedang mengusahakan pelan luar jangka kami, kami sedar bahawa kami boleh menyaksikan kelompok muncul di berbagai tempat. Kami tidak mahu berpeluk tubuh dan lantaran itu, kami melakarkan respons sekiranya mana-mana senario ini menjadi kenyataan."

Beliau berkata walaupun ia penting untuk bersiap sedia bagi senario paling buruk dan "bersyukur" jika ia tidak berlaku, pasukan bertindak itu tidak mahu "memberi reaksi berlebihan buat masa ini".

"Kami akan terus membenarkan perkhidmatan yang selamat disambung semula dalam masyarakat tetapi ia memerlukan kita semua dalam masyarakat untuk memainkan peranan kita, menjaga disiplin kita, secara aktif mengamalkan langkah-langkah jarak selamat untuk melindungi setiap seorang daripada kita," katanya.

Jumlah kes masyarakat kekal "rendah secara keseluruhannya" tetapi bilangan kes itu "meningkat" sepanjang beberapa hari lalu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

GELOMBANG KEDUA JANGKITAN?

Prof Madya Mak berkata pasukan bertindak tidak menyaksikan lonjakan pada jumlah kes masyarakat baru sebagai gelombang kedua jangkitan, mengaitkannya dengan peningkatan interaksi sosial selepas 'circuit breaker'.

Namun, Encik Gan berkata risiko gelombang kedua jangkitan "sentiasa ada" dan menasihati orang ramai supaya terus berwaspada.

Encik Gan berkata beliau prihatin setelah sejumlah kes COVID-19 dikesan di dalam keluarga yang sama di Blok 111 Tampines Street 11 dan lebih-lebih lagi selepas keluarga kedua di blok yang sama diuji positif COVID-19.

Ini boleh membawa kepada potensi berlaku "kelompok signifikan" sekiranya ia merebak lebih luas, kata menteri kesihatan itu.

"Ia sebenarnya boleh mencetuskan gelombang kedua, berdasarkan jumlah orang yang dijangkiti pada masa yang sama, dan risiko jangkitan selanjutnya akan meningkat dengan ketara.

"Jadi ini adalah tanda-tanda yang akan kami pantau. Setiap kali kami melihat tanda-tanda yang berpotensi mencetuskan risiko gelombang kedua, kami cuba bergerak pantas dan secara lebih agresif serta melakukan lebih banyak daripada apa yang biasa dilakukan dalam amalan biasa."

KEMUNGKINAN SATU LAGI 'CIRCUIT BREAKER'

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengatakan kemampuan untuk memperluaskan ujian dan mengambil tindakan yang lebih pantas dan lebih tepat akan membantu mencegah Singapura daripada kembali ke Fasa 1 pemutus jangkitan.

"Kami mungkin perlu melakukan kuarantin meluas di sekitar kawasan orang ramai yang saling bersentuhan ataupun kami mungkin bahkan perlu melakukan langkah sekatan tertumpu bagi sesebuah kawasan tertentu sekiranya terdapat kelompok di kawasan berkenaan."

Namun, Encik Wong berkata Pemerintah tidak boleh menolak kemungkinan mengenakan sekatan tambahan atau pemutus jangkitan lain pada masa akan datang dengan menarik perhatian bahawa ini sudahpun berlaku di negara-negara yang sudah keluar dari perintah berkurung.

Apabila ditanya mengenai ambang untuk kembali ke Fasa 1 atau 'circuit breaker', Encik Gan berkata keputusan itu tidak bergantung kepada jangkitan "satu angka".

Ia juga akan bergantung kepada betapa genting kes, kata beliau, sambil menekankan bagaimana "sebilangan besar" kes Singapura selama tiga hingga empat bulan lalu "sangat ringan" tanpa memerlukan jagaan perubatan kritikal.

Walaupun Encik Gan mengatakan sistem jagaan kesihatan Singapura sudah bersedia untuk meningkatkan kapasiti sekiranya kes meningkat lagi, beliau mengingatkan bahawa ini tidak boleh dianggap remeh.

Encik Wong berkata, bilangan "amat kecil" kes masyarakat yang ada kaitan dengan kes-kes sebelumnya dikesan selepas tempoh 'circuit breaker' berlaku melalui perhimpunan sosial.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya terus mengambil "tindakan pencegahan maksimum" semasa perhimpunan sedemikian. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan