Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada komplikasi dalam kalangan pesakit S'pura yang diberi vaksin selesema serupa di Korea Selatan

Sejumlah klinik di Singapura di mana para doktor memberikan vaksin influenza yang dikaitkan dengan kematian-kematian di Korea Selatan menyatakan tiada pesakit mengalami komplikasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada komplikasi dalam kalangan pesakit S'pura yang diberi vaksin selesema serupa di Korea Selatan

Gambar fail jarum suntikan (Gambar: AFP/Schneyder Mendoza)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 10:36AM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 10:46AM

SINGAPURA: Sejumlah klinik di Singapura di mana para doktor memberikan vaksin influenza yang dikaitkan dengan kematian-kematian di Korea Selatan menyatakan tiada pesakit mengalami komplikasi. Mereka berhenti menggunakan vaksin itu selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan makluman yang menasihatkan agar penggunaan vaksin itu diberhentikan buat sementara waktu.

Meskipun sesetengah doktor sudah memeriksa keadaan pesakit mereka atau menerima pertanyaan daripada pesakit yang bimbang tentang komplikasi yang mungkin berlaku, ada yang sedang menunggu lebih banyak maklumat daripada MOH, menurut sebilangan klinik kepada Mediacorp pada Selasa (27 Okt).

MOH mengeluarkan makluman pada Ahad (25 Okt) kepada para penyedia jagaan kesihatan dan pengamal perubatan untuk menghentikan buat sementara waktu penggunaan vaksin SkyCellflu Quadrivalent yang dihasilkan oleh SK Bioscience dan diedarkan di sini oleh AJ Biologics, dan vaksin VaxigripTetra yang dihasilkan oleh Sanofi Pasteur dan diedarkan di merata negara oleh Sanofi Aventis.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan, kedua-dua jenama vaksin, serta lima lagi vaksin yang tidak ditawarkan di Singapura, diberikan kepada individu-individu yang meninggal dunia di negara tersebut.

Lapan daripada 14 doktor yang ditemui Mediacorp berkata bahawa mereka tidak menggunakan vaksin-vaksin tersebut.

Enam daripada mereka berkata bahawa mereka pernah memberikan Vaxigrip Tetra sebelum ini - namun hanya tiga pesakit diberikan vaksin itu baru-baru ini. Tiada pesakit mengadu mengalami kesan sampingan daripada vaksin tersebut. Tiada seorang pun daripada 14 doktor tersebut menggunakan vaksin SkyCellflu Quadrivalent.

Dr Ong Eng Keow dari Klinik Kanak-Kanak dan Orang Dewasa Hospital Mount Alvernia berkata klinik tersebut sudah memberikan sekitar 50 suntikan vaksin Vaxigrip Tetra sejak 4 Okt.

"Kami telah menghubungi semua pesakit kami untuk memeriksa keadaan mereka dan mereka semuanya sihat," kata beliau pada Isnin (26 Okt), sambil menambah bahawa beliau amat bimbang tentang pesakit yang diberikan vaksin tersebut baru-baru ini.

Dr Choo Kay Wee dari A Life Clinic di Pusat Perubatan Novena sudah memberikan kurang 10 suntikan vaksin berkenaan dalam tempoh enam bulan lalu.

Dr Sunil Kumar Joseph, yang mengendalikan Klinik Perubatan Keluarga Tayka di Jurong berkata beliau juga memberikan kurang 10 suntikan vaksin berkenaan pada separuh pertama tahun ini dan tidak memberikan lagi suntikan tersebut selepas menerima makluman itu.

Kesemua doktor tersebut tidak pernah menyaksikan pesakit yang kembali ke klinik disebabkan oleh sebarang komplikasi.

Dr Joseph berkata beliau belum menghubungi para pesakitnya untuk memaklumkan mereka tentang makluman MOH mengenai kedua-dua vaksin berkenaan kerana beliau sedang menunggu lebih banyak maklumat daripada MOH.

"MOH sedang menyiasat perkara itu untuk mengetahui sama ada tindakan perlu diambil atau sama ada terdapat isu-isu lain yang tidak dikaitkan dengan vaksin tersebut yang mungkin menyebabkan kematian (di Korea)," tambah Dr Joseph. " Biar mereka siasat dahulu sebelum kita maklumkan para pesakit."

Dr Lim Kien Sin dari Klinik Perubatan Clarion di Ang Mo Kio berkata bahawa klinik tersebut menerima pertanyaan daripada para pesakit meskipun ia baru mula memberikan vaksin minggu lalu, menggunakan vaksin jenama lain - dan tidak menggunakan kedua-dua vaksin yang dinyatakan dalam makluman MOH.

"Beberapa pesakit yang diberikan vaksin juga menelefon kami. Kami memberi jaminan kepada mereka dan mereka baik-baik sahaja," kata Dr Lim.

Mediacorp menghubungi dua hospital privet, Hospital Farrer Park dan Pusat Perubatan Thomson, kedua-duanya juga tidak menggunakan vaksin-vaksin tersebut.

KESAN SAMPINGAN BIASA TERMASUK BENGKAK, SAKIT RINGAN

Doktor-doktor berkata ada beberapa kesan sampingan biasa daripada vaksin-vaksin tersebut, seperti sakit ringan di tempat suntikan, bengkak-bengkak, ruam, sengal ringan dan keletihan.

Dr Lim berkata para pesakit juga mungkin mengalami batuk-batuk ringan dan gejala selesema, namun reaksi ini biasanya baik sendiri dengan pantas.

"Yang penting sekali, kami memerhatikan demam dalam masa 24 hingga 48 jam pertama," kata beliau, sambil menambah bahawa ini adalah satu lagi kesan sampingan biasa daripada pemvaksinan.

Sesetengah pesakit mungkin mengalami reaksi alahan, kata para doktor tersebut.

Dr Elaine Chua dari Pusat Perubatan Bedok berkata kesan sampingan seperti ruam mesti diperhatikan dengan teliti sekiranya pesakit mengalami alahan terhadap vaksin berkenaan.

Dr Lee Joon Loong dari Klinik Perubatan Paddington di Bedok berkata dalam kes-kes yang mudarat, alahan boleh menyebabkan kejutan anafilaktik - di mana tekanan darah mereka tiba-tiba merosot dan aliran pernafasan mungkin menghalang mereka daripada bernafas seperti biasa.

Bagi sesetengah kes, para pesakit mungkin rasa kebas pada bahagian tangan dan kaki selepas diberikan vaksin, yang mungkin boleh merebak ke bahagian lain.

Komplikasi yang jarang berlaku itu dikenali sebagai sindrom Guillain-Barre, kata Dr Ong dari Hospital Mount Alvernia, sambil menambah bahawa para pesakit mungkin rasa lemah pada otot sebagai reaksi terhadap vaksin influenza berkenaan.

Merujuk kepada pelbagai kesan sampingan yang dijangkakan selepas menerima suntikan vaksin, Dr Chua berkata pesakit mungkin boleh tahan sakit dengan mengambil ubat penahan sakit yang boleh dibeli di kedai-kedai, seperti rasa sakit di tempat suntikan, tidak perlu dikhuatiri.

Sungguhpun demikian, pesakit yang mengalami gejala lebih menyakitkan mesti diperiksa oleh doktor.

"Selain kesan sampingan biasa, penyedia jagaan kesihatan yang memberikan vaksin tersebut harus peka kepada perkara-perkara lain," kata Dr Chua. Beliau menambah bahawa penyedia jagaan kesihatan berkenaan mesti memeriksa pesakit ntuk mengenal pasti sama ada kesan sampingan itu akan bertambah teruk dan jika ia berlaku, mereka harus memaklumkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Mediacorp sudah menghubungi MOH untuk mendapatkan komen daripada pihak berkuasa.

Sumber : Today/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan