Virus Korona

Images
  • victoria australia covid
    Produk pembasmi kuman diletakkan di atas sebuah kereta sedang para pemandu mengisi kertas kerja untuk polis apabila mereka kembali ke Australia Selatan dari Victoria pada 24 Mac 2020. (Gambar fail: Tracey Nearmy/REUTERS)

Tiada kematian dilaporkan di pusat penularan COVID-19 di Australia

SYDNEY: Victoria yang mempunyai jumlah penduduk kedua paling ramai di Australia dan juga merupakan pusat penularan COVID-19 negara itu, tidak melaporkan sebarang kematian akibat virus korona pada Selasa (15 Sep) dalam tempoh 24 jam lalu, buat pertama kali dalam dua bulan. 

Victoria bagaimanapun menyatakan 42 orang disahkan positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, naik sedikit berbanding jumlah yang disahkan pada hari sebelumnya. Bilangan itu juga jauh lebih rendah berbanding kemuncak 700 jangkitan yang dikesan pada Ogos.

Kali terakhir Victoria tidak mencatatkan kematian berkaitan COVID-19 adalah pada 13 Julai.

Perangkaan itu meningkatkan harapan bahawa sekatan pergerakan ketat yang dikuatkuasakan ke atas lima juta penduduknya selama hampir tujuh minggu berhasil dalam membendung penularan virus tersebut.

Melbourne, bandar dengan jumlah penduduk kedua paling ramai di Australia, kini sedang menjalani sekatan pergerakan yang dilanjutkan sehingga 28 September. Namun, dengan jumlah kes yang terus merosot, beberapa sekatan telah dilonggarkan pada Isnin untuk membenarkan orang ramai keluar rumah bagi tempoh lebih lama untuk bersenam. Pihak berkuasa juga memendekkan waktu perintah berkurung pada sebelah malam.

Victoria, yang didiami suku daripada 26 juta penduduk Australia, kini membentuk sekitar 75 peratus daripada lebih 26,700 kes COVID-19 dan 90 peratus daripada 816 kematian akibat virus korona di negara itu.

Queensland pada Selasa melaporkan satu kes baru melibatkan seorang warga yang baru pulang dari luar negara dan sedang menjalani kuarantin.  

- REUTERS/FZ/fz

Top