Virus Korona

Images
  • qingdao china covid
    Seorang kanak-kanak mengambil ujian swab COVID-19 di Qingdao, China, pada 14 Okt 2020. (Gambar: STR/AFP)

Tiada jangkitan baru selepas 11 juta penduduk Qingdao jalani ujian COVID-19

BEIJING: Qingdao, sebuah bandar pesisir di timur China, sudahpun selesai menjalankan ujian COVID-19 ke atas 11 juta penduduknya berikutan satu penularan dan ia tidak mendapati sebarang jangkitan baru sejauh ini.

Setakat Jumaat (16 Okt), sampel ujian 10.9 juta penduduk kembali negatif.

Xue Qingguo, Timbalan Datuk Bandar Qingdao, memberitahu penyiaran tempatan CCTV bahawa risiko penularan dalam masyarakat "pada dasarnya sudah dihapuskan".

Ujian ke atas seluruh bandar itu diarahkan dilakukan selepas 13 orang menjadi kes penularan tempatan pertama di China dalam lebih dua bulan.

Punca penularan itu dikesan pada dua pekerja dermaga yang diuji positif COVID-19 pada bulan September tetapi pada awalnya tidak menunjukkan gejala. Mereka mengunjungi sebuah hospital di Qingdao dan dihantar ke ruang imbasan CAT yang tidak dibasmi kuman secara betul setelah itu lantas menyebabkan jangkitan kepada pesakit lain, menurut para pegawai kesihatan.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan 13 kes import baru. China mencatatkan 4,634 kematian dalam kalangan 85,659 kes positif COVID-19.  

- AP/FZ/fz

Top