Koronavirus

Images
  • hosanna medical centre
    Pusat Perubatan Hosanna. (Gambar: Google Street View)

Tiada bukti doktor GP maut angkara terjangkit pesakit COVID-19

SINGAPURA: Tiada bukti yang menunjukkan seorang doktor swasta (GP) yang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 setelah dijangkiti oleh seorang pesakit, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (11 Okt).

Lelaki rakyat Singapura berusia 65 tahun itu meninggal dunia pada Sabtu dan kematiannya dilaporkan oleh MOH pada hari yang sama.

"Klinik mendiang bukan sebuah Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) mahupun klinik swab dan pulang bagi COVID-19. Kami juga tidak mempunyai rekod yang menunjukkan kliniknya dikunjungi oleh mana-mana pesakit COVID-19 baru-baru ini," tambah MOH.

Kementerian itu turut mendedahkan bahawa doktor berkenaan hanya menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 iaitu vaksin bukan mRNA di bawah Laluan Akses Khas dan tidak mempunyai sebarang keadaan perubatan yang diketahui.

Pada pagi Isnin, Anggota Parlimen MacPherson Tin Pei Ling mengucapkan takziah sambil menyifatkannya sebagai "seorang GP yang penyayang di MacPherson".

"Saya dapat tahu tentang perkara-perkara hebat yang telah dilakukannya untuk masyarakat kita di MacPherson daripada para penduduk yang pernah berjumpa dengan mendiang di kliniknya. Mereka mengongsi tentang cara doktor peramah itu membuat lawatan ke klinik kurang menakutkan. Mereka suka berbual dengannya dan mendengar tip-tip tentang gaya hidup sihat yang menyeluruh, yang sangat digemarinya," kata Cik Tin.

"Para penduduk juga sedia maklum bahawa beliau berbuat demikian dengan penuh ikhlas dan benar-benar prihatin terhadap kesejahteraan mereka. Ramai pesakitnya berkawan dengannya."

Tambah Cik Tin: "Mungkin sebagai seorang penduduk, beliau dapat melihat sendiri bagaimana MacPherson mempunyai jumlah warga emas dan penduduk kurang bernasib baik yang ramai.

"Maka itu, beliau mengenakan yuran yang rendah supaya para penduduk yang lebih memerlukan lebih terdorong untuk mendapatkan khidmat jagaan perubatan apabila perlu. Ramai di antara kita yang tersentuh dengan kemurahan hatinya terhadap masyarakat."

Menurut Mediacorp, klinik beliau, Pusat Perubatan Hosanna terletak di 52 Circuit Road.

Berdasarkan maklumat daripada seorang kakitangan, klinik itu sudah ditutup sejak 4 Oktober.  

- CNA/SM/sm

Top