Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada bayaran ERP di semua gantri mulai Isnin susuli penutupan tempat kerja minggu depan

Yuran Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) akan digantung di semua gantri merata Singapura dari Isnin (6 Apr) berdasarkan jangkaan bahawa pergerakan trafik akan berkurangan dengan ketara apabila sekolah-sekolah dan kebanyakan tempat kerja ditutup pada minggu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Apr 2020 12:45PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 12:17AM

SINGAPURA: Yuran Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) akan digantung di semua gantri merata Singapura dari Isnin (6 Apr) berdasarkan jangkaan bahawa pergerakan trafik akan berkurangan dengan ketara apabila sekolah-sekolah dan kebanyakan tempat kerja ditutup pada minggu depan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan dalam perutusan yang disiarkan secara langsung pada Jumaat (3 Apr) bahawa semua sekolah dan tempat kerja - kecuali bagi perusahaan-perusahaan yang menyediakan khidmat-khidmat penting - akan ditutup di bawah langkah-langkah lebih ketat untuk membendung pandemik COVID-19. Tempat-tempat kerja akan ditutup mulai Selasa (7 Apr) sementara sekolah-sekolah pula akan beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) sepenuhnya mulai Rabu (8 Apr). Ini akan dikuatkuasakan sehingga 4 Mei.

"Sejurus langkah-langkah ini dikuatkuasakan, kami menjangkakan pengurangan yang segera dan ketara pada jumlah trafik," menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media pada Sabtu (4 Apr).

Keputusan itu diambil selepas LTA menurunkan kadar ERP bagi 96 peratus gantri di Singapura minggu ini, sambil merujuk kepada "keadaan luar biasa" disebabkan oleh penularan COVID-19.

"Dengan langkah-langkah jarak selamat yang diperketatkan, LTA akan menggantung bayaran ERP di semua gantri mulai Isnin, 6 April 2020 tepat pada tengah malam," menurut kenyataan media itu.

Bayaran ERP akan dikenakan semula apabila langkah-langkah tersebut ditarik balik.

"LTA akan terus memantau keadaan dengan teliti. Buat masa ini, kami menggesa seluruh rakyat Singapura supaya mematuhi semua langkah jarak selamat," menurut LTA.

Sumber : CNA/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan