Skip to main content

Iklan

Iklan

Thailand rekod 914 kes baru COVID-19 susuli saringan di Samut Sakhon

Thailand merekodkan 914 kes baru COVID-19 menyusuli pelaksanaan ujian besar-besaran yang dijalankan di Samut Sakhon, wilayah yang mencatatkan penularan bermula pada pertengahan Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand rekod 914 kes baru COVID-19 susuli saringan di Samut Sakhon

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 08:12AM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 08:15AM

BANGKOK: Thailand merekodkan 914 kes baru COVID-19 menyusuli pelaksanaan ujian besar-besaran yang dijalankan di Samut Sakhon, wilayah yang mencatatkan penularan bermula pada pertengahan Disember lalu.

Pejabat Kesihatan Awam Samut Sakhon dalam kenyataannya turut mendedahkan bahawa daripada 914 kes baru itu, 70 melibatkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 844 lagi dikesan menerusi pengesanan kes aktif, yang melibatkan 760 pekerja asing dan 84 pekerja tempatan.

“Sehingga kini sejumlah 6,555 kes COVID-19 dilaporkan di wilayah itu sejak pertengahan Disember,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand Dr Apisamai Srirangsan berkata Thailand merancang untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 60,000 ujian ke atas penduduk wilayah Samut Sakhon minggu ini bagi menghentikan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

Beliau berkata pihak berkuasa termasuk hospital swasta akan menjalankan pengesanan kes aktif di kilang-kilang, asrama, pasar dan masyarakat di Samut Sakhon, wilayah di selatan Bangkok itu.

“Kita berharap menerusi pengesanan kes aktif ini, kita akan dapat mengesan lebih banyak kes COVID-19 dan mengawal penularan virus itu.

“Hospital lapangan di Samut Sakhon sedang bersiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit menyusuli ujian saringan besar-besaran. Sehingga kini terdapat 1,091 hospital lapangan di Samut Sakhon dan 1,400 lagi akan disediakan menjelang Jumaat ini,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 pada Isnin (25 Jan).

Beliau berkata pesakit dengan gejala yang ringan dan tanpa gejala akan ditempatkan di hospital lapangan, manakala kes-kes teruk akan dirawat di hospital.

Media tempatan melaporkan kira-kira 63,000 orang termasuk pekerja kilang dan penduduk tempatan, serta mereka dalam kumpulan berisiko tinggi, akan menjalani ujian di bawah inisiatif saringan besar-besaran di wilayah berkenaan minggu ini. Dengan tujuh peratus kadar jangkitan, kira-kira 4,400 kes baru dijangka akan dikesan menerusi tindakan pengesanan kes aktif ini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 187 kes baru COVID-19 dan dua lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Thailand kini sebanyak 13,687, dengan 75 kematian.

Kematian pertama melibatkan lelaki warga Britain berusia 61 tahun yang tiba di Thailand pada 25 Dis dan disahkan positif COVID-19 pada 29 Dis semasa menjalani kuarantin wajib, manakala yang kedua melibatkan wanita Thailand berumur 56 tahun dengan masalah penyakit “cerebrovascular”.

Sementara itu pegawai kanan kesihatan Dr Sophon Mekthon berkata program vaksinasi di Thailand akan bermula minggu ketiga Februari, apabila kumpulan pertama 50,000 dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford tiba.

Beliau berkata petugas perubatan dan kumpulan berisiko tinggi di Samut Sakhon, Bangkok dan daerah Tak Mae Sot adalah antara kelompok awal yang akan menjalani program vaksinasi.

Pihak berkuasa pentadbiran makanan dan ubat-ubatan (FDA) Thailand meluluskan pendaftaran vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat AstraZeneca Co di Itali, Rabu lalu.

Lesen import dan pendaftaran vaksin itu akan sah bagi tempoh setahun, dan FDA Thailand sehingga kini masih belum memberikan kelulusan kepada penggunaan vaksin Sinovac Biotech dari China.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan