Skip to main content

Iklan

Iklan

Thailand rancang peroleh lagi 120 juta dos vaksin tahun depan

Thailand merancang untuk memperolehi sekurang-kurangnya lagi 120 juta dos vaksin COVID-19 termasuk vaksin generasi kedua bagi kegunaan suntikan tambahan atau booster, di samping akan meningkatkan inokulasi ke atas kanak-kanak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Thailand rancang peroleh lagi 120 juta dos vaksin tahun depan

Seorang sami Buddha mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 22 Aug 2021 10:18PM Dikemas Kini : 22 Aug 2021 10:19PM

BANGKOK: Thailand merancang untuk memperolehi sekurang-kurangnya lagi 120 juta dos vaksin COVID-19 termasuk vaksin generasi kedua bagi kegunaan suntikan tambahan atau booster, di samping akan meningkatkan inokulasi ke atas kanak-kanak. 

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, Lembaga Vaksin Kebangsaan merancang untuk membeli pelbagai jenis vaksin termasuk vaksin mRNA pada tahun depan. 

Beliau berkata Institut Vaksin Kebangsaan merancang untuk memperolehi masing-masing sebanyak 50 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, vaksin mRNA dan AstraZeneca.

Katanya lagi, ia termasuk vaksin generasi kedua yang mempunyai kemampuan untuk memberi perlindungan terhadap varian terkini dan varian lain pada masa akan datang, jika berjaya dibangunkan oleh mana-mana syarikat.

“Kuantiti dan bila penghantaran dibuat akan dibincangkan kemudian," katanya.

Sejak program vaksinasi bermula 28 Februari lalu, Thailand telah memberikan 26.83 juta dos vaksin termasuk 8,393 dos booster untuk petugas barisan hadapan.

Berikutan kebimbangan mengenai varian Delta, pihak berkuasa kesihatan sedang melakukan kajian mengenai pemberian suntikan booster sebagai perlindungan terhadap varian Delta.

Sementara itu, Thailand melaporkan 19,014 kes baru COVID-19 dan lagi 233 kematian dalam tempoh 24 jam. Jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini adalah sebanyak 1,049,295 dan 9,320 kematian.

Dalam kenyataannya, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) memaklumkan kes terbaru itu termasuk 19,004 penularan tempatan dan 10 kes import.

Bagi kes kematian terkini, ia melibatkan 140 lelaki dan 93 wanita berusia antara tujuh bulan dengan 101 tahun, termasuk empat warga Myanmar, masing-masing seorang warga Singapura, China dan Laos.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan